JANGAN BERSEKONGKOL DENGAN KEZALIMAN DAN KEMUNGKARAN - AZMIN ALI

Menteri Besar Selangor, Azmin Ali memberi amaran supaya jangan ada pihak-pihak tertentu yang bersekongkol dengan dengan kezaliman dan kemungkaran.
“Baru-baru ini ada kenyataan seseorang, dia tidak setuju jatuhkan Najib. Sesiapa yang tidak setuju jatuhkan Najib percayalah rakyat akan jatuhkan mereka dalam pilihan raya yang akan datang.
“Jangan bersekongkol dengan kezaliman. Jangan bersekongkol dengan kemungkaran. Ekonomi parah, rakyat susah, pimpinan mewah bagaimana kita boleh teruskan perkara ini,” Itu ucapan Azmin Ali pada satu program kempen PKR di Kuala Kangsar semalam.
Timbalan Presiden PKR itu menyeru rakyat Kuala Kangsar agar memilih wakil yang kuat di parlimen untuk melawan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang disifatkan sebagai ‘makhluk perosak’.
Beliau berkata, hanya calon parti Amanah Negara (Amanah) Dr Ahmad Termizi Ramli yang layak dihantar ke parlimen untuk membawa suara mereka.
“Kita mahu anak jati Kuale untuk mewakili kita dalam parlimen . Kita mahu suara yang lebih kuat, yang berani lawan Najib dan berani turunkan Najib kerana dia adalah makhluk perosak yang mesti diturunkan,” katanya ketika berucap di majlis Iftar Perdana bersama penduduk Kampung Lempor Tengah, Manong Kuala Kangsar petang tadi.
Azmin juga berkata, jika ada pihak yang tidak bersetuju untuk menjatuhkan Najib, rakyat akan menjatuhkan pihak tersebut pada pilihan raya umum akan datang kerana bersekongkol dengan kezaliman.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor juga berkata, Selangor telah menunjukkan pencapaian yang cemerlang dan mengutamakan kebajikan rakyat terbanyak menyebabkan rakyatnya hidup selesa.
Ia termasuk peruntukan RM100 juta untuk pinjaman mikro kredit hijrah  kepada peniaga kecil mengembangkan perniagaan mereka.
“Hari ini kita tahu peniaga kecil khususnya orang Melayu tidak mampu untuk mendapat pinjaman daripada bank untuk membiayai perniagaan mereka kecuali kalau ahli lembaga pengarah 1MDB. Kalau setakat peniaga di kampung kena lempor sahaja oleh bank. Tetapi kerajaan selangor ambil berat untuk membiayai perniagaan mereka.
“Kita nak beritahu orang Kuala Kangsar kalau teringin dasar-dasar bersama ini yang peduli rakyat, kekayaan diberi kepada rakyat, bukan kepada pemimpin dan isterinya maka sokonglah calon Amanah Dr Ahmad Termizi pada 18 Jun ini,” katanya.

Comments