PH MANTAP DAN MAMPU GUGAT BN

Ada pihak yang sangsi dan mendakwa Pakatan Harapan (PH) akan berkubur dalam masa terdekat kerana parti-parti komponennya iaitu AMANAH, DAP dan PKR mempunyai ideologi dan agenda perjuangan yang berlainan. 

Mereka juga mendakwa bahawa PH sama seperti Pakatan Rakyat (PR) tidak akan kekal lama kerana setiap parti mempunyai agenda sendiri dan tidak mungkin dapat bertolak ansur antara satu sama lain.

Kita semua harus faham bahawa gabungan ini sendiri ujud kerana sememangnya parti-parti ini berbeza dalam beberapa perkara. Sebab itu perlu kepada gabungan dan pakatan, jika mereka semuanya sama tidak perlulah ujudkan pakatan.

Kegagalan PR mengekalkan gabungan tersebut adalah disebabkan kegagalan parti-parti terbabit berpegang kepada janji dan keputusan mesyuarat. Antara penyebabnya ialah ada komponen parti yang tidak mahu akur kepada keputusan mesyuarat dan juga tidak mahu menghadiri mesyuarat.

Saya yakin parti-parti komponen PH yang ada sekarang sudah belajar dari kesilapan lalu serta sudah matang untuk melayari dan mendepani badai perjuangan. Parti-parti komponen PH telah membuktikan komitmen mereka untuk memantapkan PH dan memastikan gabungan itu terus relevan untuk membebaskan rakyat dari penindasan dan kezaliman BN.

Kejayaan PH menandatangani perjanjian Sabtu lalu menjadi titik penting betapa gabungan ini adalah mantap dan sukar digugat. Perjanjian itu telah menggariskan perkara-perkara penting berkaitan gabungan, halatuju, pentadbiran, membuat keputusan serta cara menyelesaikan apa juga pertikaian dan perbezaan.  

Apa yang penting semua keputusan berkaitan dengan PH mesti diputuskan di dalam mesyuarat Majlis Presiden yang menjadi badan terpenting menentukan halatuju PH dalam apa juga perkara. Keputusan itu pula mestilah mendapat persetujuan semua parti dalam gabungan tersebut. 

Memang benar komponen tersebut mempunyai perbezaan ideologi dan agenda perjuangan tetapi bagi saya agenda perjuangan bersama yang dipersetujui dan disepakati bersama ialah melahirkan negara yang mempunyai kepimpinan yang telus, bersih dan amanah; 'good governance'; bebas rasuah, menjunjung demokrasi dan sebagainya.

Malah PH sekali lagi menegaskan bahawa kedaulatan Raja-Raja Melayu, agama Islam sebagai agama persekutuan, Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi tidak pernah terusik dalam kerangka perjuangan PH seperti juga PR dahulu. Ini jelas menunjukkan bahawa serangan musuh yang menyatakan kedaulatan agama Islam dan  Raja-Raja Melayu akan tergadai jika PH memerintah adalah fitnah besar yang sengaja dimainkan bagi memburuk-burukkan imej PH. 

Selain itu kita melihat pemimpin PH juga sudah matang dan berpengalaman untuk mendepani sepak terajah musuh politik mereka yang siang malam mencari jalan untuk memecahbelahkan PR dahulu. Mereka memainkan isu agama dan perkauman sehingga ada bekas parti komponen PR yang termakan gula-gula Umno/BN ini. Saya yakin semua serangan dan fitnah mampu ditangani oleh pimpinan yang berpengalaman ini. Apa yang penting mereka mesti duduk semeja dalam apa juga isu yang dibangkitkan. Jangan menjadikan media sebagai medium untuk menyelesaikan kekusutan yang berlaku.

KIta masih ingat ketika PR berada dalam keadaan nyawa-nyawa ikan pimpinannya sudah tidak boleh duduk semeja lagi. Masing-masing menggunakan media untuk berkomunikasi. Masing-masing berbalas-balas 'tembakan' di media tidak mahu bertemu dan bermesyuarat untuk merungkaikan masalah. Lebih-lebih selepas Tuan Guru Nik Abdul Aziz meninggal dunia dan Anwar Ibrahim dipenjara maka tiadalah pimpinan yang dihormati dan disegani. Masing-masing menunjukkan ego masing-masing. Perangai ini mesti dibuang jauh-jauh oleh pimpinan PH yang ada sekarang. Jangan ulangi kesilapan lama.

Saya yakin jika semua pihak matang dan berlapang serta masing-masing ikhlas berjuang untuk keadilan dan keredhaan Allah, PH akan mampu menggugat Umno/BN dan rakyat akan tetap memberikan sokongan padu kepada PH.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Pengarah Komunikasi dan Media
Parti AMANAH Negara 
Negeri Melaka.

Comments

Anonymous said…
Teruskan perjuangan rakyat wahai PH..pedulikan parti yg tiada matlamat dan tujuan..
Anonymous said…
teruskan perjuangan kah sokong aok
Unknown said…
Mutaligat terbaik..... Dari zaman pas anda disokong.....