PARTI ISLAM MESTI BERHATI-HATI ELAKKAN FITNAH, AMALKAN POLITIK BARU!

Sifat sebuah Parti Islam adalah menjadi cermin kepada orang lain. Sebab itu PAS sebuah Parti Islam yag lama di Malaysia serta AMANAH parti yang baru ditubuhkan dan mendakwa juga adalah parti Islam mesti berlagak dan berperangai sebagai parti yang benar-benar menjunjung Islam bukannya hanya pada mulut sahaja.

Apa juga yang dikata dan dilakukan oleh kedua-dua parti 'otai' dan baru itu mestilah dalam ruang lingkup Islam. Maka anggota-anggotanya mesti berhati-hati mengatur dan menyusun kata-kata. Juga berhati-hati dalam mengatur rentak dan tari di pentas politik negara kita. Jangan terikut-ikut dengan politik kotor yang diamalkan oleh orang lain yang tidak berjuang di landasan Islam dan demokrasi serta keluhuran undang-undang. 

Kita sebagai rakyat samada yang Islam dan belum Islam sangat mengharapkan pimpinan serta ahli PAS dan AMANAH dapat membuktikan mereka benar-benar komited dengan dasar yang mereka perjuangkan. Jangan pula ada antara mereka menghalalkan yang haram dan mengharamkan yang halal, fitnah jadi halal, tohmah jadi 'makanan', pembohongan jadi hobi dan adu domba jadi wirid. 

Fitnah adalah perkara keji yang menjadi dosa besar dalam Islam. Impak dan akibat fitnah amat besar kepada seseorang atau organisasi. Silap haribulan ada yang merana sampai bila-bila lantaran fitnah dan tohmah sebegini. Umpama Dato Seri Anwar Ibrahim yang merengkok dalam penjara akibat dakwaan liwat yang tidak pernah dibuktikan di Mahkamah Syariah sedangkan jenayah itu berkaitan dengan hukum Islam. 

Siapakah agaknya yang berani berhadapan dengan Allah di mahkamah Akhirat nanti akibat dari kerja-kerja fitnah dan tohmah ini.? Adakah anda berani?

Sehari dua ini kita lihat ramai di kalangan ahli dan pimpinan Parti-Parti yang mengaku mendokong Islam dan memperjuangkan Islam berani melemparkan tuduhan dan fitnah kepada pihak lain yang tidak sehaluan dengan mereka. Kalau dahulu kita lihat fitnah dan tohmah ini jadi mainan dan wirid anggota dan pimpinan parti yang tidak memperjuang Islam tetapi hari ia menjadi sebaliknya. Mungkin penyakit ini berjangkit di bawa oleh virus yang bernama 'dendam' dan 'kebencian'.

Apakah ada dalil dan fatwa baru yang menghalalkan fitnah, tohmah, adu domba dan pembohongan sedemikian?  Apakah politik menghalalkan cara seperti ini sudah menjadi budaya dalam negara kita.?

Budaya seperti ini bukanlah sesuatu yang baik. Ianya tidak memberikan apa-apa kebaikan kepada pembangunan ummah dan insan di negara kita. Budaya ini akan menjerumuskan rakyat negara kita menjadi masyarakat yang hidup dalam politik fitnah dan tohmah yang tidak berkesudahan. Malah lebih teruk lagi ia akan menimbulkan bibit-bibit kebencian dan pemusuhan yang nyata sehingga mengakibatkan pertelingkahan dan perkelahian yang tidak menguntungkan pembangunan insan di tanahair kita. 

Apa yang membimbangkan kita ialah budaya ini bukan sahaja menjadi hobi pimpinan yang 'otai' malah pimpinan-pimpinan pemuda dan remaja yang sepatutnya terdedah dengan budaya politik baru juga turut terikut-ikut dengan stail politik 'orang tua' kaum 'otai' tersebut. Ini ditambah lagi dengan kewujudan media sosial seperti Facebook, Whatsapp dan lain-lain di mana fitnah, tohmah dan pembohongan ini berlaku setiap saat tanpa boleh dikawal. Pelbagai ragam dan cara digunakan bagi menarik pelanggan untuk produk-produk fitnah, tohmah dan pembohongan ini. Ilustrasi, gambar karton berbentuk humor dan sebagainya merancakkan lagi 'produk' ini di samping 'produk-produk' tradisional berupa kenyataan akhbar dan sebagainya.

Nasihat saya kepada 'taukeh-taukeh' produk ini bertaubatlah, kembalilah kepada akhlaq Islam yang jadi siulan dan wirid perjuangan kita semua. Kepada yang menjadi pelanggan 'produk' ini berhati-hatilah. Selidiki atau 'tabayyun' dulu apa berita yang kita terima. Jangan jadi pemyambung kepada 'taukeh-taukeh' produk hodoh dan karut ini yang belum tentu menjanjikan pahala kepada kita. 

Kepada pimpinan dan ahli-ahli PAS dan AMANAH serta sesiapa juga ayuh kita amalkan politik baru yang 'gentleman', professional, progresif dan amanah. Jangan kita berbicara mengikut sedap mulut kelak kita ditertawakan orang, malah yang lebih teruk lagi takut-takut fitnah dan tohmah kita itu menjeratkan kita di Akhirat kelak.

Terbaru  Naib Ketua Pemuda Amanah Nasional Mohd Fakhrulrazi Mohd Mokhtar, menuntut sahabatnya Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia Muhammad Khalil Abdul Hadi menarik balik tuduhan bahawa ‘Amanah hanya akan dengar cakap DAP. 

Sudah pasti Khalil ada sebab dan alasannya sendiri mengapa beliau berani mengeluarkan kenyataan sedemikian. Sementara Fakhrulrazi dan seluruh ahli AMANAH sudah tentu tidak setuju dengan kenyataan Khalil yang jelas tidak berasas itu. Oleh kerana itulah kita mengharapkan kenyataan-kenyataan sebegini samada dari PAS, AMANAH, UMNO atau sesiapa sahaja wajib dielakkan.

Malah ianya kadang kala terpaksa diselesaikan di mahkamah yang sudah tentu membuang masa, wang dan tenaga. 

Ayuh para politikus dan rakyat Malaysia mari sama-sama kita berubah dan mengamalkan politik sihat dan serba baru. Elakkan fitnah, tohmah, bohong dan adu domba ...........

Comments