Tidak ada sesuatu yang menghairankan atau mengejutkan dalam dunia politik di mana-manapun, justru ia sangat cepat berubah.
Hari ini bermusuhan, esok menjadi sahabat, kemudian kembali menjadi musuh lagi dan kemudian menjadi sahabat kembali.
Begitulah dunia politik di mana-manapun dan dunia politik di Malaysia demikian juga keadaannya, ia terus berubah dan berubah, tidak ada apa yang mengejutkan. Malah sukar diramalkan.
Dalam keadaan begini, dasar sesuatu parti, biasanya, boleh saja dikompromi untuk disesuaikan dengan keadaan dan tuntutan perubahan.
Perubahan pada satu-satu parti politik boleh saja berlaku sama ada sesebuah parti itu sudah wujud begitu lama, atau baru, ramai atau sedikit jumlah ahlinya dan sebagainya.
Yang menggerakkan perubahan itu biasanya ditentukan oleh pucuk pimpinan tertinggi sesebuah parti itu, ataupun dilakukan dalam perhimpunan besar sesuatu parti itu.
Proses perubahan ini akan terus berlaku, bergantung kepada strategi dan keperluan yang dikira mendesak oleh pimpinan sesebuah parti itu. Namun setiap parti politik terdedah kepada perubahan.
Tetapi yang tidak boleh dikompromi oleh sesebuah parti politik ialah perjuangan untuk menegakkan keadilan, kebebasan, membela hak rakyat, perjuangan menentang kezaliman dan segala yang mungkar.
Perjuangan ini tidak boleh dikompromi sama sekali dan tidak boleh berubah, sama seperti malam tidak boleh ditukar menjadi siang dan begitulah sebaliknya. Siapapun dan parti manapun yang berkuasa, perjuangan untuk membela hak rakyat ini menjadi asas parti itu.
Mengkesampingkan dasar ini, nescaya mengundang penolakan rakyat yang menyebabkan parti itu akan tewas dalam menghadapi pilihan raya.
Di sinilah, saya kira, pemimpin dan pendukung Parti Amanah, walaupun parti itu baru berusia tiga bulan lebih, sangat memahami hal ini. Dari itu, mereka mungkin tidak terkejut dengan pelbagai perubahan dalam dunia politik tanah air dan bersedia menerima hakikat ini.
Dengan pengalaman yang panjang pemimpinnya dalam politik selama ini, saya kira, Amanah kini memberikan tumpuan pada gerak kerja atau program yang sudah dan akan diatur, terutamanya program peduli rakyat diseluruh negara.
Ini kerana yang penting, bagi Amanah, ialah persepsi rakyat terhadapnya yang kini dilihat sangat positif. Kepeduliannya kepada rakyat semakin terserlah.
Pada 9 Januari nanti, Pakatan Harapan akan mengadakan Konvensyen Nasionalnya sehari suntuk di Shah Alam dan tentunya Konvensyen ini akan melakarkan rancangan jangka panjang dan jangka pendeknya untuk masa depan.
Dalam kesibukannya membuat persiapan Konvensyen ini, saya tidak fikir pimpinan dan pendukung Amanah, mempunyai kesempatan untuk memikirkan perubahan yang berlaku di sesetengah parti politik.
Seorang penyokong kuat Amanah, dari Shah Alam, Ramlan Wahab, secara tegas menyatakan: “Biarkanlah parti politik hendak seribu kali berubah. Yang penting Amanah mesti berusaha keras mendekati rakyat, peduli akan nasib mereka yang kini dihimpet oleh harga barang naik.”
“Bagi saya,” kata Ramlan, seorang peniaga mini market, “Rakyatlah yang akhirnya akan menentukan nasib sesebuah parti politik itu. Undi di tangan rakyat.”
Pandangan yang sama diberi oleh Rashidi Sazali, seorang peniaga barang makanan dari Kepung, yang mengatakan: “Pengundi tak kisaah, hendak berapa kali seesebuah parti itu berubah. Pengundi hanya mengundi parti yang membela rakyat, peduli akan kesusahan rakyat.”
“Saudara tahu,” katanya, “peniaga kecil seperti kami sangat sukar untuk menyambung nafas perniagaan. Harga barang terus naik. Pembeli kekurangan daya beli. Rakyat menderita. Nilai wang terus merosot.”
Seorang aktivis Amanah di Ampang, Arshad Hamid, menyatakan bahawa pihaknya telah membuat tinjauan rambang kepada sesetengah pendukuk dan ini kata-kata mereka:
“Kami tidak peduli berapa kali sesebuah parti itu hendak berubah. Yang menjadi perhatian kami ialah parti mana yang dilihat membela rakyat. Itulah yang akan kami undi nanti.”
Kata pula seorang pegawai yang bertugas di sebuah syarikat IT di Petaling Jaya, Imran Ahmad, “Dalam pilihan raya akan datang, nasib parti politik akan ditentukan oleh pengundi berdasarkan prestasi mereka dalam membela rakyat. Tidak kira parti itu lama atau baru, ramai atau sedikit jumlahnya.”
Ini sebahagian dari pendapat orang ramai mengenai persepsi rakyat dalam pilihan raya akan datang.
Oleh itu, saya yakin, tentunya Parti Amanah dan Pakatan Harapan kini tidak sibuk memikirkan perubahan pada parti politik yang ada.
Ini kerana, pada akhirnya, pengundilah akan memangkah parti yang benar-benar boleh membela rakyat, bukan parti yang pnuh rhetoric.
Dengan demikian, saya yakin Konvensyen Pakatan Harapan 9 Januari nanti akan memfokaskan persoalan membela rakyat, justru inilah isu yang akan menentukan hidup mati sesebuah parti politik dalam PRU akan datang.
Nukilan : Pak Syukur (Malaysiadateline).
Comments