.

.

22 October 2015

USUL UNDI TIDAK PERCAYA DR WAN AZIZAH

Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail memfailkan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri Datuk Seri Najb Razak hari ini di pejabat Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia hari ini.
Usul itu difailkan selepas Pakatan Harapan sebulat suara menetapkan ketua pembangkang Dr Wan Azizah Wan sendiri yang perlu membawa usul itu selepas ia dikemukakan Ahli Parlimen PKR dari Petaling Jaya Selatan Hee Loy Sian.‎
Dr Wan Azizah berkata usul itu bertujuan menolak kepimpinan Najib dan bukannya untuk menukar kerajaan.
Dalam kenyataannya selepas itu, Dr Wan Azizah yakin bukan 88 ahli parlimen pembangkang sahaja hilang kepercayaan kepada Najib tetapi juga di kalangan ahli parlimen Barisan Nasional (BN).
"Saya mempunyai sebab-sebab munasabah berkeyakinan bahawa majoriti dalam Dewan Rakyat, bererti bukan sahaja 88 orang Ahli Parlimen Pembangkang, tetapi juga bilangan Ahli Parlimen dalam Barisan Nasional yang mencukupi, yang telah hilang kepercayaan terhadap pimpinan Yang Amat Berhormat untuk menerajui Kerajaan," katanya dalam satu sidang media selepas itu (gambar bawah).
Sidang media Pakatan HarapanSidang media Pakatan HarapanUsul ini, katanya,  hanya berkenaan dengan kehilangan kepercayaan terhadap Najib dan bukannya terhadap Kerajaan.
"Ini kerana saya dan banyak lagi, tanpa mengira fahaman politik, kami percaya bahawa krisis ekonomi, sosial dan politik yang tenat dan sedang dihadapi negara ini berasal daripada krisis kepimpinan dalam negara. "Rakyat sedang menderita kos kehidupan yang semakin meningkat dan kesengsaraan ekonomi di bawah jagaan beliau di mana polisi-polisi beliau terbukti gagal. Transformasi yang dihebohkan itu sekadar retorik," katanya.  
Katanya, sungguhpun terdapat faktor luaran yang menyebabkan kejatuhan nilai ringgit seperti penurunan harga minyak dan harga komoditi, ‘sentimen’ yang disebutkan oleh ahli-ahli profesional dan ekonomi sebagai salah satu sebab kejatuhan ringgit adalah akibat daripada cara menguruskan siasatan skandal 1MDB dan RM2.6 bilion dalam akaun peribadi Perdana Menteri.
Penyingkiran Datuk Gani Patail sebagai Peguam Negara secara tergesa-gesa tanpa penjelasan, pelucutan YB Pagoh Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Timbalan Perdana Menteri dan YB Semporna Datuk Shafie Apdal, pembubaran selanjutnya pasukan bertindak menyiasat skandal 1MDB, pemindahan atau penukaran pengarah-pengarah yang mengetuai penyiasatan dan pegawai-pegawai SPRM yang menjalankan tugas penyiasatan yang tidak pernah berlaku sebelum ini, merupakan satu percubaan untuk campur tangan ke atas penyiasatan, katanya.
"Keadaan bertambah buruk dengan pelantikan pengerusi dan tiga anggota PAC Dewan Rakyat (ke Kabinet) yang menghalang PAC daripada menjalankan penyiasatannya terhadap pengurusan dan pengarah-pengarah 1MDB yang sepatutnya didengar di hadapan PAC," katanya lagi.
Bagi beliau, institusi-institusi negara telah diganggu-gugat daripada melaksanakan tugas-tugas tanpa rasa takut.
Kerajaan pimpinan Najib, katanya, semakin bertambah rakus dengan timbulnya pelbagai perundangan menindas yang disegerakan menerusi parlimen dan lebih dari seratus ahli aktivis, cendekiawan, wartawan dan pelajar disiasat, didakwa atau dihadapkan pertuduhan.
Meskipun terdapat jaminan di dalam parlimen, SOSMA dan undang-undang lain yang berkaitan dengan penahanan tanpa bicara telah diperalatkan terhadap mereka yang tidak ada kena-mengena dengan keganasan.
Perbicaraan dan pemenjaraan mantan Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dikutuk oleh badan kehakiman antarabangsa (contohnya ICJ) sebagai satu perbicaraan yang songsang dan penganiayaan politik, katanya.
Tokoh-tokoh tersohor dalam persidangan anti-rasuah antarabangsa (IACC) telah menggesa Perdana Menteri menjelaskan ‘derma’ RM2.6 bilion, katanya.
"Mereka mempersoalkan siapa membayar wang itu dan kenapa? Dan ke mana wang itu pergi? Tidak ada penjelasan yang munasabah diberikan," katanya.
Oleh yang demikian, katanya, tidak memeranjatkan untuk melihat pelabur-pelabur dalam dan luar negara mengeluarkan pelaburan mereka dari negara kita.
Mantan Perdana Menteri dan para pimpinan kanan kerajaan kini juga menyuarakan kebimbangan mereka terhadap kepimpinan Najib, tambahnya.   Menurut beliau, ratusan ribu rakyat biasa telah memberanikan diri selama 34 jam dalam keadaan hujan dan panas bagi mendesak peletakan jawatan Najib.
Tinjauan-tinjauan terkini menunjukkan bahawa populariti beliau telah menjunam ke tahap paling teruk dalam sejarah, dan beliau ditolak oleh rakyat.
Majlis Raja-raja telah mengeluarkan kenyataan yang tiada tolok-banding yang menggesa pihak berkuasa supaya menyiasat dan menghukum dalang-dalang yang terbabit dalam skandal 1MDB.
"Seluruh negara menyokong penuh tanpa kecuali gesaan Duli-duli Raja-raja Melayu," katanya.
Beliau yakin Ahli-ahli Parlimen akan mengundi menurut hati nurani.
"Kita mesti mengetepikan perbezaan politik dan meletakkan kepentingan negara mengatasi segala. Kita tidak boleh berdiam diri apabila kedaulatan, kemerdekaan dan maruah negara tergugat hanya kerana seorang manusia," kata Wan Azizah.   

3 comments:
Write comments
Hey, we've just launched a new custom color Blogger template. You'll like it - https://t.co/quGl87I2PZ
Join Our Newsletter