AMANAH NEGARA PUNYA MASA DEPAN CERAH

Ramai yang mempertikaikan keupayaan parti baru AMANAH Negara untuk meneruskan kelangsungan perjuangannya di Malaysia. Perkara ini bukan sahaja diutarakan oleh rakyat terbanyak tetapi juga di kalangan ahli akademik dan penganalisis politik.

Namun bagi saya samada AMANAH akan terus subur atau layu di persada politik tanahair agak terlalu awal untuk diramalkan. Ini kerana parti ini baru sahaja dilancarkan pada 16 September lalu iaitu kira-kira 2 minggu. Mana mungkin sebuah parti yang baru lahir seperti ini dapat dijangkakan kelangsungan dalam masa yang singkat.

Ramai yang berhujah bahawa parti-parti serpihan dan nyamuk seperti ini akan berkubur dalam masa kurang setahun disebabkan masalah-masalah dalaman, kewangan, perkaderan dan ketahanan pemimpin dan ahlinya sendiri. Sejarah telah merakamkan bahawa parti-parti seperti Semangat 46, Berjasa, HAMIM, AKIM, Nasma, Parti Negara dan lain-lain berkubur tanpa nesan dalam jangkasama yang singkat. Semangat 46 umpamanya walaupun pada peringkat awal kelihatan hebat sehingga berjaya memerintah Kelantan bersama-sama dengan PAS, akhirnya ia juga mati dan kepimpinannya ramai yang kembali 'melutut' kepada Umno. Begitu juga Berjasa yang pernah menerajui Kelantan dan menyertai BN akhirnya berkubur.

Masalah kepimpinan yang tidak berwibawa dan ketiadaan pelapis juga menjadi antara penyebab utama yang menyebabkan sesebuah parti itu mati 'beragan'. Hanya seorang dua sahaja pemimpin yang berkarisma dan selepas mereka bersara atau meninggal dunia tiada pemimpin baru yang mampu meneruskan kesinambungan perjuangan menjadi duri dalam daging parti-parti yang baru ditubuhkan ini.

Namun begitu sebenarnya perkara yang paling utama yang menentukan kelangsungan dan kewibawaan sesebuah parti ialah ideologi dan prinsip perjuangannya. Hanya parti yang mempunyai prinsip perjuangan yang jelas sahaja yang mampu mendepani cabaran.

Selain itu masalah kewangan juga sering menghambat sesebuah parti yang baru ditubuhkan. Bukannya mudah untuk menguruskan sebuah parti jika tiada sumber kewangan yang tetap. Bayangkan kos operasi sebuah pejabat, gaji petugas dan aktivis, sumber kewangan untuk menjalankan aktiviti dan program, semua itu memerlukan bukan sedikit wang. Malah ianya mencecahkan puluhan ribu sebulan untuk ibu pejabat dan ribuan ringgit di peringkat negeri atau kawasan parlimen.

Bagi saya sebagai antara anggota awal yang menggerakkan AMANAH di peringkat akar umbi, saya yakin parti yang ditubuhkan oleh otai-otai politikus ini mampu pergi jauh dan berkembang maju.

Mengapa saya begitu optimis???

Jawapannya mungkin agak optimistik tetapi keyakinan ini bukannya omongan kosong. AMANAH sejak dari ura-ura penubuhannya telah menekankan bahawa prinsip perjuangannya adalah Islam. Ianya dibuktikan apabila parti tersebut telah membuat permohonan untuk mendaftarkan nama partinya sebagai Parti Progresif Islam atau dalam istilah lain Parti 'Harakah' Islam. Perlembagaan dan prinsip perjuangannya jelas meletakkan Islam sebagai matlamat  perjuangan dengan slogan 'Rahmatan Lil A'lamin'. Tetapi sudah menjadi lumrah dalam negara kita penggunaan istilah Islam sentiasa dicemburui. Belum pun sempat 24 jam permohonan dibuat menteri berkenaan telah membuat pengumuman bahawa kerajaan dan ROS tidak akan meluluskan permohonan parti yang ingin menggunakan perkataan Islam pada namanya. Malahnya menteri itu sendiri menyatakan bahawa nama Islam pada PAS juga sepatutnya tidak diluluskan. Kerajaan dan pihak berkuasa terdahulu telah membuat kesilapan membenar dan meluluskan penggunaan Islam pada PAS.

bersambung ...........


Comments