NAJIB PURA-PURA KATA NIZAR

Bekas menteri besar Perak yang digulingkan pada 2009 itu berkata, ucapan Najib malam tadi mengenai "kuasa rakyat" memilih kerajaan dan tentang ia hanya boleh digunakan semasa pilihan raya, penuh dengan kepura-puraan.
Jika benar seperti yang dikatakan beliau, Nizar bertanya Najib mengapa kerajaan negeri yang dipilih secara demokrasi digulingkan melalui "pintu belakang" tanpa undi tidak percaya diusulkan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).
Katanya, tidak syak lagi, Najib kini bercakap dengan lidah bercabang kerana tindakannya tidak sepadan dengan kata-katanya.
"Ucapan Najib jelas merupakan satu kepura-puraan. Beliau meminta rakyat atau ahli Parlimen untuk tidak melakukan apa yang dia lakukan di Perak pada 2009," Nizar memberitahu The Malaysian Insider.
Anggota DUN Changkat Jering itu berkata demikian mengulas ucapan Najib di Pasir Salak, Perak malam tadi di mana perdana menteri berkata, rakyat mempunyai hak untuk menghukum atau mendakwa siapa yang mereka suka atau benci semasa pilihan raya yang diadakan sekali dalam setiap lima tahun.
"Waktu pilihan rayalah waktu kita serah kepada rakyat untuk memilih kerajaan. Hukumlah kita, adililah kita sebagai kerajaan pada hari ini sama ada baik atau tidak, rakyat boleh tentukan.
"Di antara pilihan raya, kita tak boleh melakukan sesuatu yang bertentangan dengan perlembagaan dan undang-undang negara kita," katanya semalam.
Nizar mendakwa, pada 2009, Najib dan timbalannya sekarang Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi yang berusaha di belakang tabir untuk menghasilkan pembelotan yang akhirnya mengakibatkan kerajaan negeri Perak ketika itu jatuh. 
Pada masa itu, Pakatan Rakyat (PR) mempunyai 31 kerusi manakala Barisan Nasional (BN) 28, tetapi 3 wakil rakyat tiba-tiba menjadi mesra BN.
Najib yang merupakan timbalan perdana menteri ketika itu juga memegang jawatan Ketua Umno Perak dengan Zahid sebagai timbalannya.
"Najib dan Zahid pergi ke istana untuk berunding dengan Almarhum Sultan Azlan Shah," kata Nizar.
Pada pertemuan itu, katanya, Najib menyampaikan surat sokongan dari 28 Adun BN dan tiga wakil rakyat mesra BN itu.
Menurut surat itu, mereka akan menyokong sesiapa saja dinamakan Najib sebagai menteri besar.
Sultan kemudian melantik Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai menteri besar yang baru pada hari berikutnya selepas baginda yakin Nizar tidak lagi mendapat sokongan majoriti.
Nizar, yang gagal meyakinkan Sultan untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN), kemudian memfailkan semakan kehakiman bagi mencabar pelantikan itu.
Peguam perlembagaan berkata, Mahkamah Persekutuan pada 2010 menyebut, perlembagaan membenarkan ketua eksekutif negeri disingkirkan tanpa perlu mengadakan undi tidak percaya dalam DUN.
Sebaliknya, mereka berkata, akuan bersumpah (SD) daripada majoriti wakil rakyat untuk menjatuhkan kerajaan dibenarkan dalam perlembagaan.
Peguam Edmund Bon berkata, panel lima hakim Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria meluluskan prosedur tersebut dalam kes Nizar lawan Zambry di Perak itu.
Bon, yang terlibat dalam kumpulan peguam yang mewakili Nizar bagaimanapun berkata, kebanyakan peguam dan ahli akademik masih berpendapat pilihan yang lebih baik ialah dengan mengadakan undi tidak percaya di dewan perundangan.
Keputusan Mahkamah Persekutuan itu menetapkan dasar yang pihak berkuasa pelantik (Yang di-Pertuan Agong, Raja-Raja Melayu dan gabenor) boleh mengkaji faktor luaran dalam menentukan sama ada seorang penyandang ketua kerajaan hilang kepercayaan majoriti wakil rakyat.
Apabila ini sudah ditetapkan, ketua kerajaan mesti meletakkan jawatan bersama dengan kabinet atau ahli exconya.
Keputusan itu juga membawa maksud, ketua kerajaan dianggap dipecat daripada jawatan jika dia enggan meletak jawatan selepas hilang undi keyakinan.
Ini membuka jalan bagi pelantikan seorang ketua kerajaan baru atau pembubaran Dewan.
BN mempunyai 134 kerusi di Dewan Rakyat, pembangkang (DAP, PKR dan PAS) 87 dan seorang bebas (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim - Bandar Tun Razak).
Sebarang pertukaran perdana menteri hanya boleh dilakukan jika lebih daripada 112 ahli Parlimen menyuarakan ketidakyakinan mereka terhadap Najib
Memang dari dahulu memang Najib dan pemimpin Umno/BN berpura-pura, namun rakyat masih belum sedar kepura-puraan mereka. Insya Allah Parti AMANAH akan menggerakkan rakyat untuk mematikan kepura-puraan Umno/BN ini dengan menumbangkan mereka pada PRU 14 nanti.

Comments