JANGAN JADIKAN WANITA BARANG PERCATURAN POLITIK

"HENTIKAN POLEMIK BAIAH TALAK TIGA: WANITA DAN KELUARGA MENJADI BARANG PERCATURAN POLITIK"
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia terpanggil memberikan pandangan terhadap isu baiah talak tiga yang sedang hangat diperkatakan. Isu ini mula diperkatakan sejak tahun 2009 ketika sebuah parti politik dikatakan mengambil baiah atau ikrar talak tiga ahli-ahlinya yang bertanding pilihan raya untuk mencegah kejadian lompat parti. Apabila rahsia ini terbongkar, iamenjadi isu sensitif kerana tidak tergambar bagi kita semua bagaimana wanita yang seharusnya dimartabatkan dalam institusi keluarga Islam kini menjadi bahan dagangan percaturan politik.
Hati kecil kami berasa lega apabila mendapat berita bahawa sebahagian alim ulama' berpandangan bahawa baiah seperti ini tertolak dan tidak boleh digunapakai. Namun, apa yang berlaku ialah pandangan ini pula tidak diendahkan oleh pihak yang berkenaan kerana masih ada suara yang terus-terusan mendesak agar baiah itu dilaksanakan. Mereka seolah-olah bergembira dan menunggu-nunggu runtuhnya mahligai kasih pasangan yang pernah menjadi sahabat seperjuangan mereka itu. Di mana hilangnya kewarasan dan perasaan setia kawan dan kemanusiaan? Tidakkah difikirkan kesan negatif daripada desakan tersebut terhadap isteri, anak-anak dan keluarga sahabat terbabit?
Perkahwinan adalah sebuah insititusi suci lagi mulia dalam Islam. Ia ditegakkan di atas asas yang kukuh untuk melahirkan, membina dan memelihara individu yang akan menjadi batu-bata dalam pembinaan masyarakat dan Negara.
Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia menegaskan bahawa :
1. Kami menentang sebarang tindakan yang menjadikan wanita dan insititusi keluarga sebagai barang pertaruhan dan percaturan politik atas alasan apa sekalipun. Perbuatan ini bukan sahaja merendahkan martabat wanita, malah bertentangan dengan syariat yang dibawa oleh Rasulullah SAW yang telah meletakkan wanita dan lelaki sama kedudukannya di hadapan Pencipta 'Azza wa Jalla; suatu syariat membawa rahmah bagi sekalian alam.
2. Apa yang telah berlaku perlu dirujuk kepada pihak berwajib dan berkuasa untuk membuat keputusan melalui ketetapan dan prosiding yang sewajarnya.
3. Kami menyeru semua pihak agar menghentikan polemik isu baiah talak tiga ini dan berhenti mengeluarkan kenyataan yang bersifat menghukum dengan sewenang-wenangnya.
Sebenarnya masih banyak lagi usaha yang perlu dilakukan untuk memartabatkan wanita dan keluarga pada tahap yang sebenar-benarnya sebagaimana yang dikehendaki Islam. Ayuh kita sama-sama berganding bahu membangun dan memartabatkan wanita.
Datin Paduka Hajah Che Asmah Ibrahim
Ketua Wanita Pertubuhan IKRAM Malaysia
4 September 2015

Comments

Yanieyusuf.com said…
tq for sharing

Salam Blogwalking: www.yanieyusuf.com
Abd razak said…
masalah disini bukan permainan wanita.lagipun baiah mi bukan perkara rahsia.cuma dibimbangi akan kesannya berlaku penceraian dan bersekedudukankesian kat depa tu.harap tak jadi.
Anonymous said…
Dh rujuk ke mufti yusoff qardawi..... Tk jatoh talak.... Cuma perlu byer diat....