PERLEKEH GHB : HUJAH PERKAUMAN UMNO JADI SIULAN

Dulu sebaik sahaja kerajaan PR ditubuhkan di Perak, Selangor dan Kedah pasca PRU 2008, PAS dituduh dengan pelbagai tuduhan antaranya kuda tunggangan DAP, pengkhianat Melayu dan sebagainya.

Umno menggunakan segenap jentera penerangan dan medianya menghentam PAS kononnya Menteri Besar dari PAS menjadi badut DAP, budak suruhan DAP dan macam-macam lagi. Namun semua itu gagal dibuktikan apabila Nizar terus memberikan khidmat terbaik tanpa mengendahkan tuduhan dan fitnah Umno dan media hapraknya.

Namun kini hubungan DAP dan PAS serta PKR dalam Pakatan Rakyat sudah menjadi sejarah yang menjadi kenangan indah rakyat Malaysia yang cintakan perpaduan. Kini parti baru yang bakal ditubuhkan (belum tahu namanya) akan menggantikan PAS dalam pakatan baru yang mungkin dinamakan sebagai Pakatan 2.0 atau nama-nama lain yang bersesuaian. Sebelum parti baru ditubuhkan GHB sebuah NGO telah ditubuhkan buat sementara bagi menjadi platform pemimpin-pemimpin yang cintakan Pakatan Rakyat berpartisipasi dalam politik.

Situasi politik hari ini yang menggambarkan hubungan yang cukup akrab antara DAP, GHB dan PKR membuktikan bahawa Pakatan 2.0 ini akan ujud dan menjadi satu gabungan mantap menentang Umno/BN pada PRU akan datang.

Kini usaha-usaha sedang dijalankan oleh pihak tertentu untuk menggagalkan Pakatan baru ini. Pelbagai hujah dan tuduhan dilemparkan kepada GHB maupun DAP. Antaranya pemimpin GHB budak suruhan DAP, Kuda tunggangan DAP, DAP parti chauvinis, DAP parti serpihan PAP, PAP di Singapura dan DAP Malaysia perangai sama, DAP anti Islam, DAP akan perintah Malaysia dan macam-macam lagi.

Jelas sekali hujah Umno dahulu yang ditujukan kepada PAS, kini menjadi siulan pihak tertentu menghentam GHB dan mahu menggagalkan penubuhan pakatan baru.

Kita sebagai rakyat Malaysia mesti mengkaji dan menilai tuduhan dan fitnah ini. Mana mungkin DAP dapat memerintah Malaysia sedangkan mereka bertanding tidak lebih dari 60 kerusi Parlimen dan hanya boleh menang dalam 30-40 kerusi sahaja. Sedangkan kerusi Parlimen seluruh Malaysia ada 222 kerusi. Sebab itulah DAP malah parti-parti lain termasuk Umno tidak akan mampu memerintah negara atau negeri secara bersendirian tanpa kerjasama dengan parti lain. Maka sudah tentu bila ada gabungan, parti-parti komponen akan sentiasa memastikan kedaulatan dan keluhuran perlembagaan Malaysia akan dihormati dan diamalkan. Tidak timbul isu DAP akan perintah Malaysia.

Isu kuda tunggangan DAP ini juga sudah tidak laku lagi kerana tiada bukti yang menunjukkan GHB menjadi kuda tunggangan DAP. Malah semasa Nizar menjadi Menteri Besar Perak dahulu beliau meluluskan keluasan tanah dan sekolah agama jauh lebih besar dari sekolah Cina, tetapi semua ini tidak disiarkan oleh media arus perdana.

Tuduhan yang menyatakan DAP chauvinis, komunis, sama perangai dengan DAP semuanya dibuat tanpa bukti kukuh dan ianya hanyalah usaha pihak tertentu untuk memburukkan gabungan baru Pakatan 2.0 dan juga ingin menakut-nakutkan rakyat supaya tidak menyokong GHB dan Pakatan 2.0

Comments