BERSIH 4 : KSU KEMENTERIAN DALAM NEGERI TAK TAHU UNDANG-UNDANG

Memalukan apabila Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Alwi Ibrahim sendiri tidak tahu undang-undang dan sewenang-wenang mengeluarkan kenyataan yang melucukan.
Sebelum ini Alwi dalam kenyataannya berkata bahawa Bersih 4 telah bergiat secara tidak sah. 
Beliau tidak sedar bahawa Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 24 Julai 2012 telah mengenepikan pengisytiharan menteri dalam negeri bahawa Bersih adalah pertubuhan haram.
Malah keputusan Mahkamah Tinggi tersebut tidak pun dirayu dan masih kekal hingga kini.
Presiden ProGuam, sebuah NGO Peguam yang baru ditubuhkan, Norazmir Zakaria  berkata ProGuam menegaskan bahawa kenyataan ketua setiausaha Kementerian Dalam Negeri di atas adalah bertentangan dengan keputusan Mahkamah Tinggi tersebut serta boleh mengundang rasa kebimbangan yang tidak berasas kepada masyarakat.
"ProGuam percaya kenyataan ini lebih kepada ingin menakut-nakutkan rakyat daripada hadir menyertai perhimpunan aman terbabit," katanya sambil menyeru kepada rakyat untuk tidak berasa takut selagimana hak mereka dijamin undang-undang.
Sebaliknya, beliau menyarankan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Polis DiRaja Malaysia (PDRM) berganding bahu bagi memastikan perjalanan perhimpunan Bersih 4 tersebut berjalan dengan aman dan tanpa sebarang provokasi.
"Secara tidak langsung, ia boleh memartabatkan imej Negara sebagai Negara yang mendaulatkan hak-hak demokrasi dan hak-hak asasi di bawah Perlembagaan Persekutuan," katanya.

Comments