AHLI PARLIMEN BN BANTU PAKATAN 2.0 SINGKIRKAN NAJIB????

Malaysiakini hari ini melaporkan bahawa Pembangkang menawarkan bantuan kepada MP BN untuk memperolehi majoriti baru bagi menyingkirkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak dengan menukar kepada pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari penjara.
Perkara ini merupakan satu daripada beberapa syarat yang ditetapkan pembangkang dalam kenyataan oleh DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru.
"Ahli-ahli parlimen dari DAP, PKR dan Gerakan Harapan Baru bersedia membincang mengenai cadangan-cadangan dari ahli-ahli palimen Barisan Nasional untuk membentuk suatu majoriti baru untuk menggantikan kerajaan Datuk Seri Najib Razak dengan pembaharuan politik sebagai agenda utama kerajaan baru berkenaan.
"Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan semua tahanan politik yang lain harus menjadi tugas pertama majoriti baru ini. Semua penganiayaan politik harus dibatalkan," kata mereka.
Tawaran itu diputuskan selepas pertemuan antara anggota parlimen ketiga-tiga wakil parti itu di parlimen semalam.
Kumpulan MP itu turut memutuskan dua lagi perkara, menyokong perhimpunan aman BERSIH 4 hujung minggu ini dan akan menyertai Majlis Perundingan Kebangsaan mengenai pembiayaan politik.
Bagaimanapun, mereka bersedia menyertai majlis itu jika isu derma RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam bank peribadi oleh suatu pihak asing ditangani dahulu.
Selain itu, kata mereka, skop majlis diperluaskan kepada pembaharuan pilih raya dan kebebasan diberikan kepada SPRM dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
Kenyataan itu dipersetujui oleh Lim Kit Siang, Loke Siew Fook, Teresa Kok, Liew Chin Tong dan Teo Kok Seong dari DAP. Rafizi Ramli, Datuk Johari Abdul, Wong Chen, Sim Tze Tzin dan S Manikavasagam dari DAP.
Manakala Gerakan Harapan Baru diwakili Kamaruddin Jaafar, Dr Hatta Ramli dan Khalid Samad.
Jika perkara ini dapat direalisasikan ia merupakan suatu kejayaan rakyat Malaysia untuk menyingkirkan seorang PM yang didakwa korup bukan sahaja oleh rakyat, pembangkang malah orang luar seperti bekas Duta Amerika ke Malaysia.
Kita mengharapkan ahli-ahli Parlimen meletakkan kepentingan negara lebih dari kepentingan parti buat sementara bagi memastikan kita mendapat kepimpinan baru yang lebih telus dan amanah.
~ Gambar hanya hiasan 

Comments