PAS TERUS BERTAPAK KUKUH DI SARAWAK, SATU LAGI KAWASAN BARU DILULUSKAN ROS

PAS Sarawak terus mengukuhkan kedudukannya di Sarawak apabila sebuah lagi Kawasan PAS di tubuhkan dan diluluskan pendaftarannya oleh Pendaftar Pertubuhan baru-baru ini.

Kawasan tersebut ialah Kawasan Parlimen Santubong yang terletak tidak jauh dari Bandaraya Kuching.

Sehubungan itu kepimpinan Kawasan Santubong telah mengorak langkah dengan membukan Pejabat PAS Kawasan yang terletak di Bandar Baru komersial Samariang. Pejabat tersebut telah dirasmikan oleh Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub pada majlis ringkas yang diadakan semalam.
Salahuddin dalam ucapan perasmian berkata perjuangan PAS menegakkan Islam adalah sesuatu yang sukar dan perlu pengorbanan yang tinggi.
"Perjuangan PAS tidak menjanjikan kesenangan dan bukan medan untuk mencari kekayaan. Sesiapa yang ingin mencari kekayaan dan kesenangan hidup tidak sesuai untuk bersama PAS" kata beliau.
Sementara itu Yang dipertua Pas kawasan Santubong  Andri Zulkarnaen Hamden dalam ucapan alu-aluannya menegaskan bahawa PAS Kawasan Santubong bukan sahaja akan menumpukan kerja-kerja politik malah berusaha untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan dan dakwah terutama membawa setiap lapisan masyarakat di kawasan santubong mengenali dan memahami Islam dengan lebih dekat.
"Tugas kami amat berat kerana kami bukannya menjalankan kerja-kerja untuk menghadapi Pilihanraya Negeri Sarawak tetapi juga untuk memberi kefahaman kepada rakyat Islam dan bukan Islam tentang kesyumulan dan kebaikan Islam" ujar beliau.
Turut hadir dalam majlis perasmian ialah Pesuruhjaya PAS Negeri Sarawak, Haji Adam Ahit dan Pengarah Pilihanraya PAS Sarawak yang juga Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Santubong Saudara Fidzuan Zaidi.
Pas kawasan Santubong adalah kawasan PAS ke 9 yang berjaya ditubuhkan dan telah mendapat kelulusan pendaftar pertubuhan (ROS). 

Comments