NAIKKAN HARGA MINYAK : CARA MUDAH KERAJAAN CARI DUIT .........

Cara paling mudah untuk tambah pendapatan negara ialah membebankan rakyat dengan kenaikan harga minyak. Betul tak??
Rakyat dikenakan DAHULU.

Sementara itu PAS kesal dengan tindakan kerajaan BN yang menaikkan harga petrol RON95 dan diesel 20 sen bermula hari ini sedangkan harga minyak dunia sedang mengalami kejatuhan mendadak.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar berkata, kerajaan BN sebelum ini sering memberi alasan harga minyak dunia naik sebagai punca harga minyak Malaysia juga terpaksa dinaikkan.

"Namun dalam keadaan minyak dunia turun hari ini, apa pula alasan kerajaan.

"Atas pertimbangan apa harga petrol dinaikkan hari ini," soal beliau ketika bercakap kepada Harakahdaily.

Harga minyak dunia semalam pada USD90.73 setong, iaitu jatuh mendadak berbanding harga pada bulan Julai iaitu USD103 setong.

Menurut Mahfuz, dengan penurunan harga minyak dunia, pengguna seluruh dunia sepatutnya menerima berita gembira.

Namun sebaliknya kata beliau, rakyat Malaysia terus menerus menerima berita buruk yang menghimpit kehidupan mereka.

Beliau juga mempersoal kenapa diesel di Malaysia (Euro 2) yang tidak mencapai standard antarabangsa (Euro 5), dijual dengan harga mahal.

Bajet pujuk rakyat

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena juga mahu kerajaan memberi penjelasan, apa punca sebenar kekalutan ini berlaku, sehingga rakyat terus menerus dibebankan.

"Adakah negara sedang mengalami masalah kewangan yang teruk," soal beliau lagi.

Beliau juga yakin, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak akan menggunakan  Bajet 2015 yang akan dibentang bulan ini untuk memujuk rakyat.

Katanya, Najib akan terus mengumpan rakyat dengan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) dan juga bonus, supaya rakyat lupa segala kenaikan yang berlaku.

"BR1M dan bonus, setahun sekali. Tapi harga barang naik tiap-tiap hari," ujar beliau.

Beliau turut mengulas kenyataan Najib sebelum ini bahawa harga barang akan naik 1.8 peratus bila laksana GST tahun hadapan.

Katanya, dengan kenaikan harga petrol hari ini, harga barang terus akan naik, dan jika ditambah dengan kenaikkan selepas GST, maka rakyat bakal menerima kenaikan berganda.

"Rakyat perlu celik politik. Kerajaan sedang buli rakyat termasuk kepada yang setia kepada mereka.

"Ahamd Mazlan kata kerajaan tampung belanja rakyat tiga bulan. Tapi sekarang apa lagi yang tinggal. Semuanya bohong belaka," katanya.


Comments