Memang memalukan apabila seorang murid sekolah rendah menyaman kerajaan dan Lembaga Peperiksaan kerana kecuaian dan kegagalan mereka menguruskan peperiksaan UPSR. Kerajaan dan Lembaga Peperiksaan didakwa cuai sehingga berlaku kebocoran soalan beberapa subjek.
Bernama melaporkan bahawa K. Mangala Bhavani memfailkan saman itu bagi pihak murid berkenaan Ananda Krishnan Menon, 13, di pejabat pendaftar Mahkamah Tinggi Sivil pada 13 Okt melalui firma guaman Messrs Rajadevan & Associates.
Saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes pada 12 Nov.
Dalam penyata tuntutan, murid Sekolah Kebangsaan Taman Tun Dr Ismail 2 itu berkata defenden gagal melaksanakan suatu sistem selamat bagi memastikan tidak berlaku kebocoran kertas soalan.
Katanya defenden juga gagal menyelia petugas dan ejen mereka - wakil sah - dalam memastikan tidak berlaku kebocoran kertas soalan mulai proses awal penyediaan soalan, hinggalah proses pengedaran kertas soalan ke semua sekolah di Malaysia.
Peperiksaan UPSR dijadual diadakan dari 9 hingga 11 Sept, tetapi berikutan kebocoran kertas soalan, murid perlu menduduki semula ujian bagi kertas Sains, Bahasa Inggeris, Matematik dan Bahasa Tamil pada 30 Sept dan 9 Okt.
Ananda Krishnan mendakwa sebagai penghidap dyslexia dengan keperluan khas, dia mengalami stres, tekanan yang tidak sepatutnya dan kekecewaan serta hilang motivasi untuk menduduki semula peperiksaan UPSR.
Comments