SASAR 8 PINGAT EMAS : ANGAN2 BESAR KEMAMPUAN TIADA

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin berkata sasaran lapan pingat emas kontinjen negara pada Sukan Asia ke-17 di Incheon semakin sukar dicapai.

Beliau berkata walaupun masih terlalu awal untuk 'mengaku kalah' kerana Malaysia masih bersaing dalam lima acara, namun kegagalan meraih emas melalui acara badminton dan berbasikal menjadikan misi yang ditetapkan Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sesuatu yang mustahil digapai.

"Itu menjadikan kita sudah ketinggalan dua daripada sasaran emas. Walaupun boleh dikatakan masih terlalu awal untuk saya katakan begitu, tetapi saya mengaku akan menjadi terlalu sukar untuk memenuhi sasaran lapan emas," katanya kepada pemberita selepas melancarkan Seminar Pendekatan Wasatiyyah peringkat kementerian itu di sini, Selasa.

Beliau bagaimanapun berkata harapan untuk menambah pungutan pingat emas tetap ada kerana kontinjen negara masih bersaing dalam acara pelayaran, karate, boling, hoki dan terjun.

Walaupun memulakan kempen dengan nota gemilang apabila memperoleh emas luar jangka menerusi acara wushu pada hari pembukaan kejohanan 20 Sept lepas, beliau berharap atlet negara yang masih bersaing akan terus mempamer semangat untuk menambah pungutan pingat sebelum temasya melabuhkan tirai Ahad ini.

Sehingga semalam, kontinjen negara berada di kedudukan ke-14 daripada 20 negara bertanding dengan mengumpul tiga pingat emas, sembilan gangsa dan sembilan perak.

Namun hari ini dilaporkan emas yang dimenangi dalam acara wushu wanita telah ditarik balik kerana pesertanya gagal ujian doping.

Dalam perkembangan sama, Khairy mengakui sukan sepak takraw perlu diberi suntikan idea baharu bagi memastikan kegemilangan yang pernah dicatat pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur tidak terkubur ditelan masa.

Beliau berkata kebangkitan ketara yang dipamerkan pasukan Korea Selatan perlu dijadikan iktibar dalam menjana semula kegemilangan skuad sepak takraw dengan sasaran awal adalah pada Sukan SEA 2017.

"Kita berdepan dengan kelemahan dari segi pengurusan takraw oleh Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM). Perkara ini telah saya maklumkan kepada Presiden PSM (Datuk Ahmad Ismail) bahawa perlu ada kerjasama antara Majlis Sukan Negara dan PSM untuk membangunkan semula sukan sepak takraw dan kita letak Sukan SEA 2017 sebagai sasaran kebangkitan kita," katanya.

Selepas tewas kepada Indonesia dalam acara berpasukan, skuad sepak takraw bimbingan Jamaluddin Hassan terus diaibkan apabila ditundukkan Korea Selatan 2-1 dalam perlawanan pembukaan acara regu semalam.


Lain kali ukur baju di badan sendiri. Kalau hendak berangan biarlah angan-angan yang boleh dicapai berdasarkan kemampuan dan usaha sendiri bukannya mengharapkan nasib.

Jelas sekali pasukan kita masih ketinggalan dari segi semangat, pengurusan sukan yang tidak sistematik dan bebas ...............


Comments