PAKATAN RAKYAT : SIAPA BULI SIAPA SEBENARNYA?????

Sepanjang PAS bersama DAP dan PKR dalam gabungan Pakatan Rakyat sejak tahun 2008 hingga sekarang, PAS Perak tidak pernah rasa dibuli atau membuli malahan terjalin ikatan yang erat, padu, solidariti, bekerjasama dan toleransi. Walaupun dimomok bahawasanya PAS ini boneka dalam Pakatan Rakyat oleh Umno-BN tetapi pada hakikatnya ianya tidak begitu dan hanya persepsi semata-mata.

Walaupun exco daripada PAS pada era pemerintahan Pakatan Rakyat yang bertahan selama 10 bulan di Perak itu cuma 2 orang termasuk MB, namun semua keputusan yang dicapai adalah hasil permufakatan dan permesyuaratan dalam Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat Negeri Perak yang dianggotai oleh tiga orang setiap parti.

Malahan PAS diberi keistimewaan selain tiga wakil parti juga ditambah dua lagi iaitu Menteri Besar ketika itu, Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai pengerusi dan saya ketika itu selaku setiausaha politik menteri besar telah diamanahkan sebagai setiausaha majlis pimpinan. Struktur ini kekal hingga sekarang cuma anggotanya sahaja yang berubah. Mesyuarat diadakan setiap minggu sepanjang pemerintahan Pakatan Rakyat, selepas kerajaan dirampas barulah sebulan sekali dan ada kalanya dua minggu sekali.

Program-program Islam yang dianjurkan oleh exco agama daripada PAS juga tidak pernah dicurigai oleh rakan-rakan komponen hatta exco DAP turut menyokong serta mencadangkan supaya institusi pendidikan islam dimartabat dan diberi bantuan sewajarnya.

Sekalipun suara PAS lebih, tetapi tidak pula diambil kesempatan untuk membuli rakan-rakan yang lain. Begitu jugalah kedudukan dalam exco, walaupun suara DAP kelihatan lebih, tetapi PAS tidak pernah rasa dibuli. Semua polisi dan agenda kerajaan negeri adalah berasaskan permuafakatan dalam majlis pimpinan. Kerusi exco PAS kecil kerana sesuai dengan jumlah kerusi yang dimenangi ketika itu.

Dalam PRU12, hanya PAS yang mempunyai manifesto tersendiri sekiranya menang negeri Perak, dan sebahagian manifesto PAS sempat dilaksanakan tanpa bantahan daripada parti-parti rakan komponen.

Satu perkara yang sangat perlu diketahui, pimpinan DAP cukup menghormati ulama-ulama dalam PAS. Beberapa program telah diatur untuk mempertemukan Adun-Adun DAP dengan Dewan Ulama PAS Negeri bagi memberi ruang kepada ulama PAS menjelaskan serta menjawab persoalan yang dibangkitkan oleh mereka.
Yang terbaru satu persidangan Pakatan Rakyat telah diadakan dengan dihadiri wakil-wakil parti bagi menerangkan dan membincangkan isu-isu berkaitan Islam dan syariat yang berbangkit.

Pakatan Rakyat Negeri Perak adalah contoh terbaik bagi melihat kebersamaan dan perpaduan dengan tidak menafikan wujud juga perbezaan pendapat dalam isu-isu tertentu tetapi tidak sampai ke peringkat mengkritik antara satu sama lain di dalam media. Perbezaan pendapat dapat dimurnikan melalui mesyuarat yang sering diadakan.

Sehingga sekarang setiap tahun diadakan konvensyen Pakatan Rakyat Negeri Perak tanpa gagal dan ini satu suasana menarik betapa utuhnya semangat bekerjasama di dalam gabungan.

Peluang melalui kerjasama politik ini digunakan sebaik mungkin untuk PAS Perak menerangkan konsep Islam yang sebenar, perpaduan dalam Islam, keadilan, kesaksamaan dan sebagainya.

DAP Perak, malahan orang bukan Islam sekalipun tidak pernah kritik dan timbulkan rasa kurang senang terhadap pimpinan PAS sewaktu menyampaikan ucapan dihadapan majoriti bukan Islam di dalam majlis anjuran mereka. Walaupun isi ceramah dikaitkan dengan Islam dan ayat-ayat Al-Quran serta hadis sering diungkapkan, mereka memberi reaksi yang baik.

Malahan apa jua proram termasuklah ceramah hari-hari kebesaran Islam, tazkirah, kuliah maghrib dan pelbagai program agama anjuran PAS, kelibat wakil-wakil rakyat bukan Islam dari DAP dan PKR sentiasa kelihatan untuk turut mendengarnya. Suasana seumpama ini tidak pernah wujud sebelum adanya Pakatan Rakyat.

Justeru itu, tidak ada sebab untuk PAS rasa terasing dan dibuli. Perasaan itu hanya timbul bila pimpinan PAS merasa terlalu rendah diri untuk memberi pandangan dalam pertemuan-pertemuan dengan mereka, tidak terbuka fikiran dan berlapang dada dalam mesyuarat bila berlaku perbezaan pendapat dengan mereka.

Yang paling parah kita sendiri jarang dan tidak pernah menghadiri mesyuarat atau program-program bersama mereka. Kadang-kadang kita takut untuk memberi pandangan terhadap sesuatu isu kerana tidak ada keupayaan berhujah.

MOHD MISBAHUL MUNIR MASDUKI
Ketua Penerangan PAS Perak

Comments

Anonymous said…
lu ni nak kena pecat ke? lu sudah langgar wala'.
Anonymous said…
Tahniah orang Melaka kerana nampak sudah ada sikit keberanian....walaupun sekadar menumpang perak!