Letak Jawatan Atas Rasa Tanggungjawab Perlu Dibudayakan - Penganalisis

Sebaik sahaja berita disiarkan mengenai peletakan jawatan Ketua Pegawai Eksekutif Mass Rapid Transit (MRT) Corp, Datuk Wira Azhar Abdul Hamid susulan kemalangan di tapak kerja landasan MRT di Kota Damansara yang meragut nyawa tiga pekerja warga Bangladesh, semalam, ramai yang memuji tindakan beliau.

Rata-rata menyifatkan Azhar telah menunjukkan apa yang dimaksudkan dengan "mendukung integriti dan tanggungjawab", suatu kualiti yang amat jarang dapat dilihat di negara ini, baik di sektor awam mahupun swasta.

Kecuali beberapa kes, termasuk apabila pemimpin MCA melepaskan jawatan susulan skandal seks, tindakan melepaskan jawatan untuk mengambil tanggungjawab bagi kesalahan peribadi atau kegagalan organisasi sememangnya bukan budaya di Malaysia.

Sebaliknya tindakan serupa tidak lagi asing di beberapa negara luar seperti India, Jepun mahupun Korea dan antara yang terbaharu tindakan Perdana Menteri Korea Selatan Chung Hong-Won yang meletak jawatan atas rasa bertanggungjawab susulan insiden feri karam yang meragut nyawa lebih 300 penumpang.

Kerana itu, 'kejutan' yang dibuat oleh Azhar semalam ini disifatkan bukan sahaja wajar dicontohi, malah perlu menjadi satu budaya yang harus dilaksanakan di negara ini.

Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM) Datuk Dr Mohd Tap Salleh ketika diminta mengulas perkara itu menyifatkan keputusan Azhar jelas menunjukkan integriti beliau sebagai seorang ketua yang berani mengambil tanggungjawab di atas kegagalan organisasi semasa di bawah pemerhatian beliau.

"Ini tindakan yang perlu kita tabik, satu tindakan yang perlu dicontohi bukan sahaja oleh pengurusan atasan syarikat lain tapi juga pemimpin kerajaan dan perkhidmatan awam.

"Tetapi dalam kebanyakan kes di Malaysia tidak begitu kerana hingga ada yang turun naik mahkamah pun masih tidak mahu meletakkan jawatan," katanya kepada Bernama.

Dr Mohd Tap turut mengenepikan pandangan sesetengah pihak yang melihat tindakan Azhar seolah-olah mengambil jalan mudah dengan meninggalkan tanggungjawabnya 'yang belum selesai'.

Sebaliknya, kata beliau, ia merupakan tindakan yang betul kerana dengan cara itu juga akan memudahkan siasatan kes berkenaan dilakukan tanpa adanya campur tangan pihak yang berkepentingan.

Bagaimanapun, tegas beliau, rasa tanggungjawab Azhar di atas kejadian itu yang dizahirkan dengan peletakan jawatan beliau tidak boleh diterjemah sebagai 'tindakan orang yang bersalah' kerana siasatan menyeluruh perlu dilakukan bagi mengenal pasti pihak yang benar-benar bertanggungjawab dalam kes itu.

"Tindakan dia (Azhar) meletak jawatan itu ok, tapi tidak boleh salahkan dia dalam kes ini, sebaliknya siasatan menyeluruh perlu dibuat, yang paling mustahak perlu dilihat sama ada pihak pengurusan telah meletakkan semua prosedur keselamatan dalam syarikat itu atau sebaliknya.

"Kalau prosedurnya lengkap, tetapi ada pihak yang tidak patuh kepada prosedur, maka bukan salah pengurusan, sebaliknya kesalahan adalah pada pihak yang tidak ikut prosedur itu, baik pekerja, kontraktor atau sub-kontraktor," katanya.

Penganalisis Sosial Tan Sri Lee Lam Thye pula berpendapat tindakan melepaskan jawatan atas rasa tanggungjawab merupakan "perbuatan yang terhormat" dan perlu menjadi budaya di negara ini.

Beliau juga menyifatkan Azhar sebagai seorang yang benar-benar mengotakan janjinya kerana sebelum ini pernah mengakui amat menitik berat soal keselamatan pekerjaan dan akan bertanggungjawab penuh di atas sebarang insiden yang berlaku di tapak pembinaan MRT.

"Susulan itu saya sentiasa mengikuti perkembangan projek MRT ini dan bila berlaku kejadian itu dan semalam beliau buat keputusan letak jawatan, beliau membuktikan yang dia seorang yang menghormati kenyataannya sebelum ini," kata Lee yang juga Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH).

Kata Lee, dengan tindakan Azhar diharap dapat menyuburkan budaya akauntabiliti dan menghakis sikap suka menuding jari yang sering menjadi amalan apabila timbulnya sesuatu isu di negara ini.

Azhar, 53, mengumumkan untuk meletakkan jawatan petang semalam susulan insiden tiga pekerja binaan lelaki warga Bangladesh mati selepas dihempap landasan konkrit seberat 490 tan di tapak projek Mass Rapid Transit (MRT) berhampiran Institut Penyelidikan Getah Malaysia (RRI) di Kota Damansara kelmarin.

Bermula esok, jawatan Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp akan dipangku oleh Haris Fadzilah Hassan, yang ketika ini merupakan Pengarah Perhubungan Pelabur dan Pengurusan Tanah.

Siasatan awal mendapati kontraktor yang terlibat tidak mengikuti prosedur operasi standard (SOP) keselamatan secara menyeluruh, mengakibatkan kehilangan nyawa pekerja-pekerja berkenaan.

-- BERNAMA


Gambar hanya hiasan sahaja

Comments