GEMPAR : UNDI TIDAK PERCAYA UTK MAT HASSAN

SEREMBAN: Mesyuarat Agung Tahunan Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia, di sini, membuat satu kejutan apabila sebulat suara meluluskan usul tergempar membabitkan undi tidak percaya terhadap Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Mohamad Hasan, yang didakwa menyalahgunakan kuasa.
Ketua Umno Cawangan Pantai, Dato’ Ishak Ismail mendakwa Mohamad telah melakukan perbuatan sedemikian dalam urusan pemilihan Pengerusi dan Setiausaha Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK), Kampung Batu 7, Batu 8 dan Batu 9, Pantai, di Lenggeng, Negeri Sembilan.
Ishak yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Lenggeng berkata, jelas sekali, keputusan tersebut dibuat tanpa merujuk dan mempedulikan segala cadangan dikemukakan oleh pihak Umno Cawangan Pantai dan Pantai Setia.
“Beliau (Mohamad) selaku Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri langsung tidak mahu mendengar dan mengambil kira suara ahli Umno yang lain.
Maka, tiada gunanya kita bertuankan orang seperti ini lagi,” katanya kepada pemberita di Dewan Masyarakat Pantai, dekat sini.
Susulan itu, beliau berkata, Mesyuarat Agung Tahunan Umno berkenaan turut membahas dan meluluskan usul bagi menolak perlantikan jawatan Pengerusi dan Setiausaha JKKK yang telah dibuat oleh kerajaan negeri, baru-baru ini.
“Kita menolak pelantikan terbabit berikutan mendapati individu yang dipilih tidak memenuhi kriteria ditetapkan seperti mempunyai rekod jenayah, bukan ahli Umno tempatan, tidak menetap dalam kawasan jagaan dan membantu pembangkang berkempen semasa Pilihan Raya Umum ke-13 tahun lalu.
“Justeru, kita akan bawa perkara ini ke Mahkamah Sesyen Seremban. Kita mahu mahkamah membatalkan keputusan yang telah dibuat oleh kerajaan negeri dalam pelantikan jawatan JKKK terbabit,” katanya yang bersedia menerima sebarang risiko, termasuk kehilangan jawatan dimiliki sekarang.
Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Sembilan, MK Ibrahim Abdul Rahman pula bertanya jika Mohamad tidak berlaku adil pada ahli Umno sendiri bagaimana pula ingin berlaku adil pada rakyat biasa?
“Jika benar dakwaan Ishak berhubung perlantikan Pengerusi dan Setiausaha JKKK itu, maka ini menunjukkan Mohamad tidak berlaku adil dan tidak menghormati ahli Umno sendiri. Bagaimana pula beliau hendak berlaku adil dan menghormati pada rakyat biasa?
“Malah jika dakwaan ini benar, ini juga menunjukkan kepincangan pentadbiran Mohamad yang mengamalkan kronisme.
Sepatutnya Mohamad perlu dengar suara akar umbi dan memilih Pengerusi dan Setiausaha JKKK berdasarkan merit atau menepati kriteria tertentu seperti yang dinyatakan oleh Ishak.
“Secara logiknya mestilah melantik orang yang menetap di dalam kawasan jagaan seperti kata Ishak,” ujar MK Ibrahim yang juga merupakan Yang Dipertua PAS Seremban -Harakah

Comments

batu pelangi said…
Pemimpin UMNO seperti ini aku sokong. Tidak GENTAR bersuara yg
benar. Andai ramai lagi pemimpin2
UMNO yg berani bersuara tentang
ketidak adilan insyaallah sokongan
akan berpihak kepada UMNO.Kembalikan
UMNO di era arwah TUN RAZAK!