PEMIMPIN ISLAM YANG AMANAH DAN ADIL UTK SARAWAK

Pemimpin Muslim Yang Amanah dan Adil Terbaik Untuk Semua

Ketua Menteri ialah satu jawatan ketua badan eksekutif bagi sebuah kerajaan. Ketua Menteri Sarawak dilantik oleh Yang di-Pertua Negeri, atau dipilih dan mendapat kepercayaan daripada anggota Dewan Undangan Negeri Sarawak.

Datuk Stephen Kalong Ningkan (1920-1997) merupakan Ketua Menteri Sarawak yang pertama (22 Julai 1963- September 1966) selepas pembentukan negara Malaysia pada 16 September 1963. Beliau menang besar dalam Pilihan raya 1962 dan membolehkannya dilantik menjadi Ketua Menteri Sarawak pertama. Pada tahun 1963, jajahan-jajahan Britain di Asia Tenggara iaitu Sabah, Sarawak, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu bergabung untuk membentuk Malaysia.

Selepas itu disandang oleh Dato 'Penghulu Tawi Sli (lahir 12 Jun 1912, meninggal dunia 1987) adalah Ketua Menteri kedua Sarawak dari suku kaum Dayak dan selepas itu disandang oleh Ketua Menteri Sarawak dari kaum bumiputera Muslim sejak tahun 1970 sehingga kini. Tiada isu perkauman dan isu keagamaan berlaku di Sarawak kerana masyarakat Sarawak lebih bersikap toleransi antara satu sama lain.

PAS Sarawak secara umumnya berpendapat bahawa sesiapa sahaja boleh dilantik sebagai Ketua Menteri asalkan ianya boleh diterima oleh semua golongan masyarakat tidak mengira bangsa dan warna kulit yang penting ianya berwibawa, jujur, amanah, tidak mementingkan diri sendiri dan adil kepada semua seperti mana yang disarankan dalam ajaran Islam.

Pada dasarnya PAS Sarawak lebih mengutamakan pilihan seorang Muslim tidak kira dari bangsa mana pun untuk  menjawat jawatan Ketua Menteri Sarawak malah didalam perlembagaan Sarawak tidak menyatakan bangsa serta agama untuk layak memegang jawatan Ketua Menteri.

PAS Sarawak sebagai sebuah parti Islam yang menjunjung tinggi Al-quran dan Al-Sunnah dan ajarannya yakin bahawa Islam lebih mementingkan ciri-ciri seorang pemimpin yang bertaqwa kerana ia bukan sahaja boleh mentadbir adil dan saksama malah amanah dalam menguruskan pembendaharaan negara serta menolak unsur–unsur rasuah, penyalahgunaan kuasa dan menindas rakyat.

Islam juga mengajar umatnya supaya memilih dan melantik seorang pemimpin yang adil untuk semua dan ini adalah merupakan satu tanggungjawab yang tidak dapat disangkal lagi buat setiap insan yang mengungkap dua kalimah syahadah, ini kerana pemimpin adalah merupakan khalifah Allah yang memimpin diatas muka bumi Allah ini.

Islam yang diperjuangkan dan diamalkan oleh PAS ialah Islam yang lengkap merangkumi semua perkara sama ada yang berkaitan dengan ibadah, politik, ekonomi, pendidikan, sosial, akhlak dan sebagainya. Ia bersumberkan Al-quran dan hadis. Risalah yang dibawa oleh PAS bukannya rekaan para pemimpin tetapi berdasarkan apa yang diajar oleh Nabi Muhammad saw.

Sejarah sudah membuktikan bahawa pemimpin Muslim yang bertaqwa adalah berlaku adil untuk semua. Sebagai contoh kerajaan umat Muslim di Sepanyol telah berjaya memperlihatkan sikap toleransi antara penganut agama yang sangat tinggi.

Di bawah pemerintahan Islam di Sepanyol itu, Yahudi dan Kristian dapat hidup dengan aman dan gemilang. Bahkan ‘The Golden Age of Jewish History’ adalah semasa pemerintahan Islam di Sepanyol.Sehingga tokoh ilmuwan Yahudi yang terkenal Musa bin Maimun (Moses Maimonides) menganggap bahawa pemerintahan Islam di Spain adalah ‘the golden age of freedom and tolerance’ untuk penganut Yahudi.

Demikian juga penganut Kristian, mereka menikmati hak beragama dan bergaul dengan semua rakyat tanpa kezaliman dan penindasan. Ini adalah hakikat sejarah. Justeru itu, ramai penduduk Sepanyol menganut Islam secara suka rela tanpa sebarang paksaan kerana memaksa seseorang menganut Islam adalah salah dan menyanggahi asas arahan al-Quran.

PAS Sarawak yakin dengan sifat dan akhlak pemimpin seorang Muslim yang menjawat jawatan Ketua Menteri dapat menyatukan seluruh rakyat Sarawak yang berbilang bangsa, kaum dan agama agar hidup dalam suasana harmoni, saling hormat-menghormati antara satu sama lain serta dapat menikmati kehidupan yang bahagia di dunia dan akhirat.

Pemimpin Muslim yang amanah, jujur dan adil untuk semua adalah lebih baik dari Muslim yang hanya ada pada nama tapi tidak melaksanakan ajaran Islam sebenar dalam kehidupan hariannya.

Kepada yang bukan Muslim tidak perlu khuatir dan bimbang akan kepimpinan seorang Muslim yang amanah dan adil untuk menerajui negara ini, contoh terdekat seperti tok guru Nik Abdul Aziz Nik Mat  yang menerajui Kelantan lebih dari 23 tahun tiada melakukan rasuah, tidak mengambil kesempatan mengumpul harta untuk kepentingan diri dan keluarga tapi lebih penting menjaga kebajikan rakyat.

Ciri-ciri kepimpinan macam inilah yang perlu ada pada seorang Ketua Menteri di Sarawak tanpa mengira bangsa dan fahaman ideologi.   Seorang Ketua Menteri seharusnya bersikap adil untuk semua bukannya hanya mementingkan diri sendiri dan berpuak-puak saja, sikap rasis dan hanya pentingkan diri sendiri menyebabkan rakyat bosan dan benci dengan sikap seorang Ketua Menteri semacam itu.

Sekiranya Pakatan Rakyat memerintah Sarawak, kita mahu Ketua Menteri terus diterajui oleh seorang Muslim yang berwibawa, amanah, jujur dan adil untuk semua tanpa mengira keturunan dan warna kulit. Ajaran Islam lebih bersifat universal tanpa mengira bangsa dan islam melarang umatnya menindas penganut agama lain.

Sememangnya Islam sesuai untuk semua bangsa, ini bukan bermakna Islam memaksa penganut agama lain memeluk islam. Hak Kebebasan beragama tetap terpelihara dan Islam menjamin penganutnya dan yang bukan Muslim supaya sentiasa hidup dalam keadaan aman damai dan harmoni selalu.  Jadi tiada alasan untuk mereka yang anti Islam untuk menakutkan penganut agama lain supaya takut dan benci dengan islam.

Slogan PAS untuk semua dan rahmat untuk semua tanpa mengira bangsa, agama dan fahaman politik memang sesuai dengan keadaan Sarawak yang mempunyai berbilang bangsa dan kepercayaan agama.

RAHMAT UNTUK SEMUA
ILTIZAM UNTUK SARAWAK

Haji Adam Ahid
Pesuruhjaya PAS Sarawak

Comments