IDRIS HARON : JANGAN CAKAP TAK SERUPA BIKIN

Melaka : Badan Perhubungan PAS Negeri Melaka memandang serius terhadap pendedahan dan dakwaan Ketua Menteri Melaka Dato Seri Idris Haron yang menyatakan bahawa beberapa agensi kerajaan negeri mengalami kerugian berjumlah RM360juta.

Ketua Penerangannya Bahiki Ismail(gambar) berkata Idris mesti membuktikan ketelusan atau integriti yang selalu disebut-sebut oleh beliau dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada SPRM bagi membuat siasatan terhadap isu ini tanpa menghiraukan tekanan-tekanan oleh mana-mana pihak.

"Ketua Menteri selalu menyatakan bahawa kepimpinan beliau akan sentiasa telus dan berintegriti jadi kita mahu beliau buktikan dengan membuka pintu seluas-luasnya kepada SPRM untuk menjalankan siasatan bagi mencari punca kepada kerugian tersebut".

"Kita juga menggesa agar SPRM mendedahkan hasil siasatankepada umum supaya rakyat tahu apa sebenarnya yang berlaku. Jika terdapat bukti rasuah dan penyelewengan berlaku mereka yang terlibat mesti diheret ke muka pengadilan" ujar Bahiki.

Beliau berkata laporan kerugian dan salah urus ini telah lama dilaporkan oleh Ketua Audit Negara dalam laporan tahunannya tetapi sebelum ini tiada apa-apa siasatan dan dakwaan dibuat.

'Kali ini kita harap Idris tidak mengulangi kesilapan dan keculasan pemimpin terdahulu yang seolah-olah menutup pintu kepada SPRM untuk menyiasat isu-isu kerugian seperti ini"

"Sebagai rakyat negeri Melaka kita tidak mahu harta dan duit kerajaan yang sebenarnya duit rakyat hilang begitu sahaja tanpa ada tindakan yang sewajarnya dilakukan bagi mencari punca kepada kerugian tersebut" tambah Bahiki.

Dua hari lepas sebuah portal online melaporkan bahawa beberapa agensi kerajaan negeri Melaka sedang disiasat atas dakwaan wujudnya salah urus selepas mencatatkan kerugian mencecah kira-kira RM360 juta. Pendedahan itu dibuat sendiri oleh Ketua Menteri Dato Seri Idris Haron dengan mengesahkan bahawa agensi-agensi terbabit berdepan krisis kewangan.

Antara agensi yang dinyatakan oleh Idris adalah Yayasan Melaka yang berdepan dengan bebanan hutang sebanyak RM286 juta. Perbadanan Kemajuan Negeri Melaka kerugian hampir RM50 juta. Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya menanggung hutang mencecah RM25 juta. Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC) mengalami defisit fiskal mencecah jutaan ringgit.

Bagaimana dalam kenyataan berasingan selepas itu Idris menyatakan bahawa Kerajaan Negeri Melaka tidak melihat keperluan untuk memanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menyiasat kerugian jutaan ringgit anak syarikat dan agensi kerajaan negeri.

Beliau berkata ini kerana kerugian itu tidak disebabkan oleh penyelewengan dalam kewangan sebaliknya melibatkan masalah pengurusan anak syarikat serta agensi kerajaan negeri terlibat.

Comments