Dewan
Muslimat PAS Negeri Melaka menggesa kerajaan mengambil langkah drastik
menghentikan semua penganjuran konsert liar dan melampau seperti Festival Future Music Asia dan lain-lain.
Ketua Peneranganya, Mahani
Othman Basir berkata terlalu banyak konsert liar dan melampau yang
dianjurkan di Malaysia tetapi kerajaan dan pihak berkuasa seolah-olah
memejamkan mata membiarkan ianya dianjurkan oleh pihak-pihak tertentu.
‘Banyak kali PAS melalui Dewan Pemuda dan Muslimat membantah
dan menghantar memo bantahan terhadap konsert-konsert yang dianjurkan tetapi ia dipandang sepi oleh
mereka”
“Bila berlaku tragedi 6 orang penonton meninggal dunia baru-baru ini barulah banyak pihak
membuka mata dan bercakap soal pengawalan dan penguatkuasaan” ujar Mahani.
Beliau berkata di Malaysia sudah menjadi budaya bila terjadi
sesuatu musibah dan tragedi barulah pihak berwajib menggelabah dan memikirkan
langkah-langkah bagi mengelakkan ianya terus berlaku.
“Kita hanya melakukan langkah pembetulan atau ‘corrective
action’ tetapi tidak mengambil langkah-langkah pencegahan atau ‘preventive
action’ sebelum ianya berlaku”
“Budaya mesti diubah
dengan segera bagi mengelakkan lebih banyak tragedi berlaku terutama yang melibatkan keselamatan
rakyat dan orang ramai termasuk pelancong” tambah beliau yang juga merupakan
Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Katil.
Mahani juga mengharapkan ibu bapa dan penjaga supaya peka
dengan kegiatan yang dilakukan oleh anak-anak mereka terutama remaja.
“Sebagai ibu bapa kita sewajarnya mengambil tahu ke mana
anak-anak kita pergi dan dengan siapa mereka berkawan”
“Hari ini terlalu banyak program-program maksiat dan liar
yang dianjurkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab dan ianya gagal
dipantau dan dihalang oleh kerajaan dan pihak berkuasa”. Tambahnya lagi.
Sebagai ibu bapa, katanya, mereka bertanggungjawab
memastikan anak-anak mereka tidak terlibat dengan aktiviti dan program maksiat
dan melampau yang melibatkan pergaulan bebas, penggunaan dadah, arak dan
sebagainya.
“Ajaran agama dan kesedaran tentang bahayanya pergaulan
bebas dan hiburan melampau mesti ditanam dalam diri anak-anak sejak dari kecil”
“Bukan tidak boleh berhibur tetapi ibu bapa mesti memantau
bentuk hiburan dan kesenian yang disukai dan ditonton oleh anak-anak”ujarnya.
Menurutnya setelah semua langkah-langkah itu diambil kita
berserah dan bertawakkallah kepada Allah
untuk menjaga anak-anak remaja yang sememangnya terdedah kepada unsure-unsur
negatif di persekitaran kita.
Comments