Nampaknya PKR kemungkinan besar mahu menukarkan Menteri Besar Selangor Khalid Ibrahim dengan Adun Kajang, Wan Azizah Wan Ismail.
Beberapa kenyataan yang dikeluarkan oleh pimpinan kanan mereka iaitu Azmin Ali, Zuraida Kamaruddin dan Shamsul Iskandar Md Akin membuktikan seriusnya PKR untuk melakukan pertukaran tersebut. Apa kewajaran mereka untuk melakukannya.
Bagi kita rancangan PKR mesti melalui beberapa 'step' yang bukan mudah kerana ianya melibatkan perbincangan dengan rakan dalam PR iaitu DAP dan PAS juga perkenan dari ke bawah DYMM Sultan Selangor.
Apakah PKR yakin mereka tidak menghadapi masalah untuk melantik Menteri Besar baru sedangkan kita tahu sejarah telah membuktikan bagaimana calon-calon Menteri Besar mestilah mendapat restu dan perkenan istana. Mungkin mereka menyatakan istana tidak mempunyai kuasa mutlak untuk menentukan siapa yang berhak menjadi Menteri Besar tetapi sejarah membuktikan bahawa masalah ini sukar untuk diselesaikan jika istana tidak memperkenannya. Selain itu dari segi politik PR juga tidak akan mendapat keuntungan jika bersengketa dengan istana kerana rakyat melihat bahawa PR 'derhaka' kepada istana.
Malah belum tentu DAP dan PKR akan bersetuju dengan cadangan PKR untuk meletakkan Presiden mereka sebagai Menteri Besar Selangor di saat Khalid berjaya membuktikan kejayaan beliau mentadbir Selangor dnegan baik. Antara kejayaan besar Khalid ialah berjaya mempertahankan kerajaannya bebas rasuah dan berjaya menjalankan program-program kebajikan rakyat dengan baik.
Ada juga pihak mempertikaikan rancangan PKR ini dengan menimbulkan pertanyaan, apakah perlantikan Presiden PKR nanti mampu menyelesaikan apa juga masalah (jika ada) atau ianya nanti menimbulkan masalah-masalah lain dari segi pentadbiran, hubungan dengan istana, politik dan sebagainya.
Oleh kerana itulah adalah lebih baik perkara ini dianalisis dan dikaji dengan sedalam-dalamnya sebelum ia dilaksanakan. Atau mungkin PR memikirkan bagaimana membuat penambahbaikan kepada kepimpinan yang sedia ada. Bukan masanya untuk kita membuat eksperimen dan cuba-cuba di saat kita diserang dari segenap sudut oleh musuh kita yang sentiasa laparkan 'harta qarun' yang melambak dalam kantung kerajaan negeri Selangor.
Comments