PAS SARAWAK MAHU KETUA MENTERI BARU TUNTUT ROYALTI MINYAK NAIK 20 %

Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak menggesa Ketua Menteri baru yang akan menggantikan Taib Mahmud nanti berusaha untuk mendapatkan royalti minyak sebanyak 20 % tidak seperti sekarang hanya 5 %.

Ketua Penerangannya, Andri Zulkarnaen Hamden berkata royalti 20 % tersebut amat bermakna kepada rakyat Sarawak kerana ianya sudah tentu dapat menambahkan pendapatan kerajaan negeri dan seterusnya ia boleh disalurkan kepada projek-projek ekonomi dan pembangunan bagi membangunkan modal insan dan infrastruktur di Bumi Kenyalang ini.

"Jumlah rakyat miskin di negeri ini sangat ramai, kemudahan asas juga masih di tahap rendah, ini semua mesti diatasi dan wang royalti ini sudah tentu dapat digunakan untuk tujuan tersebut" ujar Andri.

Menyentuh soal perletakkan jawatan Taib Mahmud sebagai Ketua Menteri, Andri berkata PAS Sarawak menghormati keputusan tersebut malah beliau sepatutnya meletakkan jawatannya lebih awal lagi sebagaimana janjinya selepas dilantik menjadi Ketua Menteri pada Pilihanraya Negeri Sarawak yang lalu.

"Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak juga menghormati keputusan PBB yang mencadangkan Pehin Sri untuk dilantik menjadi Tuan Yang Terutama (TYT) Yang Di-Pertua Negeri Sarawak yang baru bagi menggantikan TYT sekarang Tun Abang Muhammad Salahuddin Abang Barieng yang akan tamat tempoh perkhidmatannya pada 28 Februari 2014 ini." tambah Andri.

Namun, katanya  pihak PAS Sarawak menegaskan bahawa dengan perletakkan jawatan selaku Ketua Menteri dan sebelum dilantik sebagai TYT beberapa langkah wajib dilakukan antaranya :


1) SPRM mestilah mengambil peluang dari perletakan jawatan ini untuk meneruskan siasatan terhadap isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa beliau secara telus dan adil. Ini kerana sehingga kini SPRM masih belum menjalankan siasatan walaupun pelbagai pihak membuat aduan dan laporan terhadap beliau. Antara laporan yang diketahui umum ialah laporan dari sebuah NGO antarabangsa Bruno Manser Fun (BMF) yang berpengkalan di Switzerland yang menganggarkan aset keluarga Tan Sri Abdul Taib Mahmud bernilai USD$21 BILION (RM64 BILLION).

2) SPRM mestilah mendedahkan hasil siasatannya kepada umum setelah siasatan dibuat supaya rakyat mengetahui kedudukan sebenar Pehin Sri samada beliau benar-benar terlibat dengan rasuah dan penyalagunaan kuasa atau sebaliknya. Ini sangat penting kerana seseorang pemimpin yang hendak dilantik mestilah bersih dari sebarang kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Malah beliau juga bukan sahaja dibuktikan bersih tetapi mesti kelihatan bersih dari semua segi.

3) Pehin Sri tidak boleh dilantik sebagai TYT jika beliau tidak dibuktikan bersih dari sebarang isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa. Beliau mesti melepasi tapisan SPRM terlebih dahulu bagi memastikan beliau benar-benar layak untuk menjadi TYT. Rakyat mesti diyakinkan dengan fakta dan bukti yang jelas tentang integriti Pehin Sri kerana jawatan TYT adalah jawatan yang sangat mulia dan tidak wajar dianugerahkan kepada individu yang tidak bersih dan sering dikaitkan dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

4) Ke Bawah Duli Yang Di-Pertuan Agong mestilah mempertimbangkan untuk tidak melantik beliau sebagai Yang Dipertua Negeri Sarawak selagi beliau belum dibersihkan daripada rasuah dan pengesahan tapisan tidak dimaklumkan kepada seluruh rakyat Malaysia khasnya rakyat Sarawak. Rakyat Sarawak tidak mahu perlantikan TYT dibuat bagi menyelamatkan seseorang dari kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang sering didakwa oleh pihak-pihak tertentu. Rakyat Sarawak tidak mahu pengulangan kes yang sama sepertimana yang berlaku keatas Tan Sri Khalil Yaakob di Melaka dimana segala tuduhan dan aduan rasuah keatas beliau lenyap sama sekali setelah dilantik menjadi Tuan Yang Di-Pertua Negeri Melaka.

5) Rakyat akan rasa terhina dan kesal jika perlantikan beliau dibuat secara tergesa-gesa tanpa melalui proses tapisan integriti dan siasatan rapi kerana TYT adalah payung kepada rakyat dan mestilah menjadi contoh tauladan kepada rakyat. Perlantikan seseorang yang tidak dibuktikan bersih dari rasuah dan penyalahgunaan kuasa sudah tentu akan mengikis keyakinan rakyat terhadap institusi penting dalam pemerintahan negeri Sarawak yang tercinta ini.

6) Pihak Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud sendiri harus bertanggungjawab dan telus dalam isu perlantikan beliau sebagai TYT. Sebagai seorang pemimpin negeri yang banyak berjasa kepada negara dan negeri Sarawak sudah tentu beliau sangat faham dan sedar tentang kelayakan seseorang untuk dilantik menjadi TYT. Beliau sendiri harus mempunyai jiwa besar untuk menolak jawatan tersebut kerana beliau tidak pernah dibuktikan bersih oleh SPRM dari dakwaan rasuah dan penyalagunaan kuasa.

Pihak Badan Perhubungan PAS Negeri Sarawak amat mengharapkan cadangan dan penegasan yang kami nyatakan tadi diambil perhatian sewajarnya oleh semua pihak bagi memastikan nama baik negeri Sarawak dan rakyatnya dipelihara dan dibersihkan dari unsur-unsur tidak yang tidak baik.

Kami juga mengharapkan pemimpin-pemimpin yang bakal menerajui negeri ini dapat membersihkan institusi pemerintahan negeri Sarawak dari sebarang dakwaan rasuah dan penyalahgunaan kuasa dari dahulu, kini dan selamanya.

Comments