GUBAL UNDANG-UNDANG PENDAFTARAN PENGUNDI SECARA AUTOMATIK - DMP BUKIT KATIL

Bukit Katil : Ketua Penerangan Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka, Mahani Othman Basir menggesa kerajaan menggubal undang-undang untuk membolehkan semua rakyat yang mencapai umur 21 tahun automatik menjadi pengundi.

"PAS dan PR sudah lama mencadangkan supaya pihak SPR dan Jabatan Pendaftaran negara menyelesaikan isu pendaftaran pengundi baru ini secara online dengan berkongsi pangakalan data",

"Kerajaan boleh menggubal undang-undang pilihanraya dengan menjadikan semua rakyat yang mencapai umur 21 tahun secara automatik menjadi pengundi berdaftar, semua itu boleh dilakukan jika kerajaan serius dalam hal ini" ujar Mahani yang juga merupakan Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Kawasan Bukit Katil.

Beliau menyatakan demikian sebagai maklumbalas terhadap kenyataan Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Idris Haron yang mewajibkan setiap ahli majlis Pihak Berkuasa Tempatan (PBT)mendaftar sebanyak 100 pemilih baharu setahun berkuat kuasa hari ini seperti yang dilaporkan oleh Bernama.

Idris dalam laporan itu berkata langkah itu bertujuan menambah bilangan pengundi baharu untuk persediaan pilihan raya umum ke-14.

Mahani berkata langkah dan undang-undang baru yang membolehkan semua rakyat didaftarkan secara automatik sebagai pengundi berdaftar dapat menjimatkan kos operasi SPR dan menjimatkan masa rakyat yang terpaksa pergi ke Pejabat Pos dan Pejabat SPR mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

"SPR juga terpaksa mengeluarkan belanja dengan membayar elaun kepada pendaftar-pendaftar pemilih sambilan di samping membayar kos operasi lain. Ahli-ahli majis PBT pula tidak perlu membahagikan masa mereka untuk tugas-tugas mencari pengundi baru kerana mereka ada tugas hakiki lain".

"Sudah lama kerajaan melaung-laungkan slogan ke arah e-government dan sebagainya tetapi dalam isu pendaftaran pengundi ini jelas sekali ianya seperti omongan kosong, apakah anda agenda tersembunyi dalam hal ini" tegas Mahani.

Menurutnya jika pendaftaran automatik ini dilakukan masalah rakyat tidak mendaftar dapat diatasi 100 peratus.

Comments