BERDIRI TEGUH DI BELAKANG PAS PUSAT DAN KECAM BANGLADESH

KENYATAAN MEDIA YANG DIPERTUA PAS KAWASAN BUKIT KATIL

Perkara 1

PAS Kawasan Bukit Katil merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden PAS dan PAS Pusat di atas keputusan matang yang dibuat pada Mesyuarat Lajnah Politik dan Pilihanraya PAS Pusat malam tadi. Keputusan yang jelas dan tegas menyatakan bahawa PAS akan turun membantu kempen PRK Kajang sebagaimana PRK lain sebelum ini. Malah PAS Pusat meletakkan Ketua Pengarah Jabatan Pilihanraya PAS Pusat Dr Mohd Hatta Ramli mengetuai jentera PAS di Kajang.

Pendirian ini jelas dan tidak harus dipersoalkan oleh mana-mana pihak dalam parti kerana ianya sudah tentu diperinci dan dikaji dengan mendalam oleh pihak pimpinan. Oleh kerana itu PAS Kawasan Bukit Katil akan turun 'all out' di Kajang bagi memastikan calon PR akan memberikan pukulan maut kepada calon BN.

PAS Kawasan Bukit Katil juga menggesa BN supaya tidak meletakkan calon mereka pada PRK Kajang kerana jelas dari nada kenyataan Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin dalam media hari ini, bahawa BN telah mengaku kalah awal-awal lagi kerana Muhyiddin bahawa BN tidak akan memberikan kemenangan mudah kepada PKR. Kenyataan ini menjelaskan bahawa BN memang tidak yakin akan menang di Kajang.  Jika benar BN tidak mahu membazirkan duit rakyat maka wajib bagi BN untuk menarik diri dari bertanding pada PRK Kajang ini.

Perkara 2

PAS Kawasan Bukit Katil mengulangi buat kesekian kalinya supaya sistem pendaftaran pengundi secara automatik dilaksanakan di negara kita bagi menyelesaikan beberapa masalah antaranya :

a) Bagi memastikan semua rakyat diberi peluang untuk mendaftar dan mengundi pada setiap pilihanraya. Sudah tentu isu rakyat tidak serius untuk mendaftarkan diri mereka sebaga pengundi tidak lagi berbangkit

b) Menjimatkan wang rakyat yang akan dibelanjakan oleh SPR untuk proses pendaftaran manual yang diamalkan sekarang. SPR terpaksa melantik ejen-ejen Pendaftar Pemilih persendirian, Pos Malaysia dan sebagainya bagi urusan pendaftaran dan ini sudah tentu melibatkan kos yang agak tinggi.

c) Menjimatkan masa dan wang rakyat yang terpaksa pergi ke pejabat Pos atau SPR mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

d) Tidak membazirkan masa pegawai-pegawai kerajaan untuk menjadi ejen mencari pengundi baru seperti arahan yang dikeluarkan oleh Ketua Menteri Melaka yang mewajibkan setiap pegawai PBT di Melaka mencari 100 pengundi baru untuk didaftarkan sebagai pengundi. Arahan ini sebenarnya sudah terkeluar dari skop tugas dan tanggungjawab mereka.

Perkara 3

PAS Kawasan juga merakamkan rasa kesal dan mengecam kerajaan Bangladesh terhadap hukuman gantung sampai mati yang diputuskan oleh Tribunal Jenayah Perang di Bangladesh terhadap mantan Menteri Pertanian (2001 - 2003) dan Menteri Industri (2003 - 2006) Bangladesh yang juga merupakan Ameer Jamaat Islami Bangladesh, Maulana Matiur Rahman Nizami. Hukuman ini jelas bersifat politik dan tidak adil terhadap beliau. Kita mendapat maklumat bahawa Maulana Matiur Rahman Nizami tidak mendapat keadilan saksama sewaktu proses perbicaraan.

PAS Kawasan menggesa masyarakat antarabangsa melalui badan-badan yang berkaitan mengambil langkah-langkah segera bagi menasihati dan menekan Bangladesh dari terus mengambil tindakan zalim terhadap musuh-musuh politik kerajaan mereka. Tindakan ini jelas tidak menghormati hak-hak rakyat dari segi Islam dan hak asasi manusia yang diamalkan di seluruh dunia.

Mohd Sofi Abdul Wahab
Yang Dipertua PAS Kawasan BUKIT KATIL
4 Feb 2014

Comments