SIDANG TERGEMPAT PARLIMEN DALAM MASA TERDEKAT???

Ahli Parlimen Gelang Patah, Lim Kit Siang menyeru supaya sidang tergempar Parlimen diadakan dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina bagi menangani krisis ‘kangkung’ yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Ini, katanya termasuk percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi kebencian perkauman dan keagamaan serta ketegangan bagi mewujudkan keadaan yang dapat mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei dalam negara ini.

Menurutnya, pada tahun 2008, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihanraya umum ke-12 dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina. 

“Jika Parlimen boleh dibubarkan dalam tempoh itu untuk mengadakan pilihanraya umum, maka tiada sebab mengapa sidang tergempar Parlimen tidak boleh diadakan dalam tempoh perayaan Tahun baru Cina, memandangkan terdapat banyak isu nasional yang perlu ditangani dengan segera,” ujar Penasihat DAP Kebangsaan itu dalam satu kenyataan sebagaimana di bawah.

Tindakan melempar dua bom Molotov ke dalam kawasan Gereja Assumption di Lebuh Farquhar, Pulau Pinang, awal pagi ini dan tindakan menaikkan pemidang Jesus is the son of Allah tanpa pengetahuan pihak berkuasa gereja di luar tiga buah gereja di Pulau Pinang kelmarin oleh pihak tidak bertanggungjawab yang cuba untuk meningkatkan kebencian perkauman dan keagamaan serta ketegangan adalah bukti wujudnya konspirasi jahat oleh sekelompok kecil pengkhianat yang cuba untuk menggoncang kestabilan negara ini dan kekacauan perkauman atau keagamaan.
 
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar sanggup membuat cerita dongeng bahawa pernah ada konspirasi untuk menjatuhkan kerajaan sewaktu Sambutan Tahun Baru di Dataran Merdeka walaupun tuduhan beliau itu tidak berasas sama sekali, kerana yang dianjurkan di malam itu hanyalah perhimpunan awam untuk membantah kenaikan harga barang.
 
Mengapa KPN diam membisu apabila pelbagai percubaan dibuat oleh pihak tidak bertanggungjawab yang bertindak seperti pengkhianat sejak beberapa bulan lalu secara tersusun untuk menghasut kebencian perkauman dan keagamaan dan cuba menimbulkan ketegangan untuk mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei dalam negara?
 
Apakah KPN lalai sama sekali dalam menjalankan tugas? Tiba masanya untuk KPN bangun daripada tidurnya dan menjalankan tugas terhadap negara dan rakyat bagi memelihara mereka daripada para pengkhianat yang sedang bersedia untuk menghasut kebencian perkauman dan keagamaan dan cuba menimbulkan ketegangan untuk mencetuskan satu lagi kejadian 13 Mei dalam negara. 
 
Bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menyebut bahawa hubungan kaum semakin tegang di bawah BN yang lemah.
 
Ada yang benar dan ada yang tidak benar pada kenyataan beliau – benar, Barisan Nasional lemah dan kerana itulah seluruh negara gempar dengan ‘kangkung’ dan perkara itu malah menjadi bahan berita antarabangsa akibat kerajaan yang lemah, tidak berkepimpinan dan tidak berpedoman.
 
Kenyataan beliau salah kerana kerajaan menjadi lemah bukan kerana ada percubaan oleh kaum Cina untuk menjatuhkan Melayu bagi menguasai politik dan ekonomi negara seperti yang berkali-kali didakwa oleh Mahathir.
 
Malah, jika ada orang yang bertanggungjawab atas keadaan semasa di Malaysia, orang tersebut adalah Mahathir sendiri yang telah mula memainkan sentimen perkauman dan keagamaan sejak sebelum pilihanraya umum 5 Mei dulu lagi apabila beliau menuduh saya bertanding di Gelang Patah untuk memusnahkan prinsip perkongsian kuasa antara kaum Melayu dan Cina di Malaysia – tuduhan yang tiada lain adalah dusta belaka. 

Langkah pertama untuk memulihkan keadaan Malaysia ialah dengan pihak tidak bertanggungjawab seperti Mahathir menghentikan tindakan tidak bertanggungjawab mengapi-apikan sentimen perkauman dan keagamaan serta meningkatkan ketegangan menerusi pembohongan.

Saya menyeru supaya sidang tergempar Parlimen diadakan dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina bagi menangani krisis ‘kangkung’ yang dihadapi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, termasuk percubaan oleh pihak tidak bertanggungjawab untuk meningkatkan lagi kebencian perkauman dan keagamaan serta ketegangan bagi mewujudkan keadaan yang dapat mencetuskan rusuhan kaum 13 Mei dalam negara ini.

Pada tahun 2008, bekas perdana menteri Tun Abdullah membubarkan Parlimen untuk mengadakan pilihanraya umum ke-12 dalam tempoh perayaan Tahun Baru Cina. Jika Parlimen boleh dibubarkan dalam tempoh itu untuk mengadakan pilihanraya umum, maka tiada sebab mengapa sidang tergempar Parlimen tidak boleh diadakan dalam tempoh perayaan Tahun baru Cina, memandangkan terdapat banyak isu nasional yang perlu ditangani dengan segera.    


Memang wajar Sidang ini diadakan ...........mana tau ada orang yang akan usulkan PM ditukar baru sebab yang ada sekarang gagal menangani masalah penderitaan rakyat.

Comments