RAKYAT MALAYSIA DI SAUDI JUGA BERDEMO TURUNKAN HARGA BARANG

Jubail Saudi Arabia, 31 Disember – Sekumpulan penyokong Gerakan Turun Kos Sara Hidup (TURUN) di Jubail Saudi Arabia turut bersama-sama mengambil kesempatan untuk menyatakan protes mereka terhadap kenaikan kos sara hidup yang sedang dialami oleh rakyat Malaysia dan menyatakan tahun 2014 adalah merupakan tahun sengsara buat rakyat.
Solidariti untuk menyatakan protes ini bukan hanya dibuat di Malaysia malahan turut dirasai oleh rakyat Malaysia di Saudi dan di seluruh dunia untuk memberi mesej yang jelas kepada kerajaan yang dipimpin oleh Barisan Nasional bahawa rakyat Malaysia yang berada di Arab Saudi cintakan Malaysia dan mahu melihat Malaysia mempunyai kemampanan dari segi ekonomi yang stabil pada masa akan datang.
Sekumpulan penyokong gerakan ini yang mula berkumpul pada jam 9 malam di Royal Commision, Jubail dan memegang sepanduk menyokong usaha orang ramai menyertai Turun dan segala usaha-usaha yang bakal dilakukan oleh Gerakan Turun secara demokratik untuk mengurangkan sengsara rakyat pada tahun 2014.
Tahun 2014 merupakan tahun sengsara buat rakyat kerana kenaikan harga minyak sebanyak 0.30 sen seliter bagi ron 95, kenaikan harga gula sebanyak 0.34 sekilogram, kenaikan harga diesel sebanyak 0.20 sen seliter dan kesan daripada kenaikan ini akan menyebabkan seluruh harga-harga barang akan meningkat pada tahun 2014.
“Kita rakyat Malaysia di Jubail Saudi Arabia mengingatkan kerajaan supaya mengkaji semula penstrukturan kenaikan harga tol, tambang teksi dan tren, kadar taraf elektrik, dan perlaksanaan GST kerana sekiranya perkara ini tidak dapat dikawal, seluruh rakyat Malaysia sama ada di dalam negara atau di luar negara akan menggembleng usaha dan tenaga untuk tidak teragak-agak menukar kerajaan pada PRU 14 yang akan datang”. Ujar jurucakap Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun), Jubail Saudi Arabia.
Beliau juga turut mengulas harga minyak di Saudi hanya 0.39 sen seliter bagi rol 95 bebanding Malaysia RM 1.90 sen seliter, sedangkan kedua-dua negara merupakan pengeluar minyak dan Malaysia mempunyai kualiti minyak yang lebih berkualiti daripada Saudi, tetapi menjualnya dan mengguna pakai minyak Saudi yang kualitinya lebih rendah berbanding Malaysia.
Di Arab Saudi juga tidak mengenakan sebarang tol, malahan kerajaan Saudi telah menetapkan gaji minimum rakyat saudi sebanyak SAR 5000(RM 4250) berbanding Malaysia menetapkan gaji minumum sebanyak RM 900, di samping mengenakan tol, GST, kenaikan harga minyak dan pelbagai-bagai lagi kenaikan harga yang tidak munasabah dikenakan oleh rakyat.
Malaysia bukan seperti Saudi yang hanya bergantung kepada minyak, Mekah dan Madinah sahaja untuk menjana pendapatan ekonomi negara, tetapi Malaysia mempunyai pelbagai hasil bumi seperti minyak, hasil tani, kelapa sawit, dan lain-lain lagi tetapi masih mengenakan cukai dan kenaikan harga yang tinggi malahan perbelanjaan negara saban tahun sentiasa defisit.
Sebab itu rakyat Malaysia di Jubail Saudi Arabia, mengesyaki terdapat urus tadbir yang lemah oleh kerajaan Malaysia dalam soal pengurusan harta negara dan mungkin ia berlaku disebabkan oleh pembaziran atau ketirisan yang tidak mampu dibendung oleh kerajaan.
Selagi lagi, kami sebagai penyokong gerakan Turun di Jubail Saudi Arabia menyeru seluruh rakyat terutama anak muda supaya bangkit dan menyatakan rasa amarah kita terhadap kenaikan kos sara hidup di Malaysia yang begitu menghimpit untuk menyelamat dan melihat Malaysia yang lebih baik dalam urus tadbir ekonomi negara pada masa yang akan datang.

Yang benar
Jurucakap Gerakan Turun Kos Sara Hidup (Turun),
Jubail Saudi Arabia

Comments