ANWAR MENTERI BESAR SELANGOR ??

Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad (kiri) berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.

“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution semalam bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya

Menjawab SMS Malaysiakini hari ini, beliau berkata, beliau akan membincangkan perkembangan itu dengan PAS negeri dan pusat dan merasakan ia masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.

“Perkara seperti ini sepatutnya dibincang dengan semua parti,” katanya ketika ditanya sama ada PAS Selangor bersetuju dengan pengunduran Lee itu.

Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.
 
Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.
 
Anwar bagaimanapun menafikannya.

mSIAKINI

Comments