PRESIDEN PAS RASMIKAN KONVENSYEN PAS MELAKA 17 NON

Melaka : Badan Perhubungan Pas Negeri Melaka akan mengadakan konvensyen Pas Negeri kali kedua pada jam 9.00 pagi hingga 2.00 petang, 17 November ini bertempat di Kompleks PAS Bukit Katil.

Setiausaha Perhubungan PAS Negeri, Asri Sheikh Abdul Aziz (gambar) berkata konvensyen ini adalah kesinambungan dari konvensyen kali pertama yang diadakan pada tahun lepas.

'Kita akan anjurkan konvensyen ini tiap-tiap tahun sebagai platform untuk PAS Negeri menilai dan memuhasabah serta merangka strategi perjuangan pada masa hadapan".

'Konvensyen ini memberi ruang kepada pimpinan Pas Negeri dan ahli-ahli menyatakan pandangan dan cadangan kepada Pas bagi memastikan kesinambungan perjuangan kita di Melaka" ujar Asri.

Beliau berkata demikian dalam sidang media ringkas selepas mempengerusikan mesyuarat jawatankuasa konvensyen di sini malam tadi.

Asri berkata antara perkara penting akan dibincangkan pada konvensyen ini ialah tarbiah, pemerkasaan dan pengurusan parti.

Majlis perasmian akan disempurnakan oleh Presiden Pas, Dato Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dan majlis penutupnya oleh Naib Presiden Pas, Dato Husam Musa. 

Presiden juga akan menyempurnakan majlis perasmian Kompleks Pas Bukit Katil yang baru siap dibina bagi menggantikan bangunan lama yang dirobohkan untuk memberi laluan kepada pembinaan jalan baru.

Seluruh kepimpinan Pas pelbagai peringkat dari cawangan hingga ke negeri dijemput hadir. Seluruh ahli-ahli Pas juga dijemput untuk memeriahkan program tersebut.

Comments