PARLIMEN SUDAH JADI MACAM STADIUM BOLASEPAK

Semalam satu lagi sejarah berlaku di dalam Parlimen Malaysia apabila seorang lagi Ahli Parlimen digantung selama 6 bulan. Tidak kisahlah Ahli Parlimen itu dari parti mana sekalipun apa yang penting kita melihat Parlimen Malaysia sudah menjadi semacam mahkamah tempat mengadili 'orang salah'. Ia juga sudah menjadi tempat yang maksum tidak boleh dikritik dan diberi teguran yang membina.

Di pihak yang ada kuasa mereka menggunakan kuasa sewenang-wenangnya menggantung sesiapa sahaja yang tidak sebulu dengan mereka atau tuan mereka. Ahli Parlimen sudah tidak bebas menyuarakan pandangan dan pendapat. Selepas ini Ahli Parlimen akan menjadi 'Yes Man' dan kaku kerana mulut dan tangan mereka dibelenggu. Takut-takut nanti digantung elaun pun gantung. Itulah Parlimen Malaysia.

Belum lagi kita soalkan tentang keadilan Speaker kepada semua Ahli Parlimen. Jarang sekali usul-usul yang dibentang oleh pihak Pakatan Rakyat diterima untuk dibahaskan. Biasanya ia akan ditolak dengan pelbagai alasan seperti tidak perlu disegerakan dan sebagainya. 

Satu lagi yang hebat dalam Parlimen Malaysia ialah sikap Ahli Parlimen yang menjadi 'Yes Man' dan Pak Turut. Apa sahaja yang dibentangkan dan dinyatakan oleh Boss mereka semuanya mereka sokong walaupun ianya jelas tidak menguntungkan rakyat dan negara. Bila ditanya kepada Ahli Parlimen berkenaan jawapnya mudah 'cari makan' kalau tak sokong dan tentang nanti kena blacklist akan datang jangan harap dipilih lagi menjadi calon PRU. Itulah mentaliti dan standard Ahli Parlimen Malaysia khususnya dari BN.

Semalam Ahli-ahli Parlimen menunjukkan belang mereka. Ada yang bersorak, ada yang melolong dan sebagainya. Perangai tidak ubah seperti penyokong Bolasepak di stadium atau lebih teruk lagi. Bila Ahli Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh membentang usul untuk menentang perlantikan penasihat-penasihat kerajaan bertaraf menteri, mereka memekik-mekik dan memperlecehkan fakta yang dibentangkan oleh Fuziah. Sedangkan ianya jelas membazirkan duit rakyat. Kesilapan fakta yang dibuat oleh Fuziah dalam isu jawatan adalah perkara kecil tetapi yang lebih besar ialah pembaziran wang rakyat untuk memberi elaun kepada penasihat bertaraf menteri ini................

Untuk rekod ......


Dewan Rakyat pada Isnin dimaklumkan seramai 12 orang terdiri daripada Ahli Parlimen, bekas Ahli Parlimen atau bekas menteri Barisan Nasional (BN) dilantik sebagai penasihat khas Perdana Menteri, duta, atau pengerusi syarikat berkaitan kerajaan (GLC), termasuk ada yang bertaraf menteri.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim berkata, mereka ialah Ahli Parlimen Rompin, Datuk Seri Jamaluddin Jarjis, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Johari Baharom, Datuk Osman Abdul (Pendang), Datuk Abdul Azeez Abdul Rahim (Baling), Tan Sri Isa Samad (Jempol), Datuk Nur Jazlan Mohamad (Pulai), Datuk Dr Abdul Latif Ahmad (Mersing), Datuk Noraini Ahmad (Parit Sulong), Shabudin Yahaya (Tasek Gelugor), Hasbi Hasbibollah (Limbang) dan Datuk Seri Noh Omar (Tanjung Karang).
Jamaluddin dilantik sebagai Pengerusi Program Perumahan Rakat 1Malaysia (PR1MA), dan Utusan Khas Malaysia betaraf menteri ke Amerika Syarikat, Johari sebagai Penasihat Khas Perdana Menteri mengenai Pembangunan Ekonomi Koridor Utara, Abdul Azeez (Pegerusi Tabung Haji), Osman (Pegerusi Menara Kuala Lumpur), Isa (Pengerusi Felda), Nur Jazlan (Pengerusi Telekom Malaysia), Dr Abdul Latif (Pengerusi Syarikat Perumahan Negara Berhad), Noraini (Pengerusi MATRADE), Shabudin (Pengerusi Lembaga Kemajuan Pulau Pinang), Hasbi (Pengerusi Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan Sarawak) manakala Noh (Penasihat Khas Perdana Menteri berhubung negeri Selangor).
Selain 12 Ahli Parlimen berkenaan, katanya, kerajaan turut melantik beberapa bekas menteri.
Mereka ialah Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Datuk Seri S. Sammy Vellu sebagai Duta Khas Kerajaan Malaysia (bertaraf menteri) mengenai infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Tan Sri Rais Yatim sebagai Presiden Universiti Islam Antarabangsa (UIA) dan Penasihat Bertaraf Menteri bagi kerajaan dalam hal ehwal sosial dan kebudayaan,  serta bekas Pedana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi sebagai Pengerusi Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim).

Comments