MASAM MANIS MUKTAMAR PAS KE 59

Saya memang menjadikan Muktamar PAS sebagai rutin tahunan saya dan ianya dimasukkan dalam 'taqwim' tahunan diri saya. Seingat saya sejak usia remaja Muktamar PAS menjadi program yang mesti saya hadiri. Hanya sekali dua sahaja saya terlepas itupun kerana Allahyarham bapa mertua saya sakit tenat dan ahli keluarga lain sakit kuat. Macam-macam peranan yang saya mainkan semasa muktamar, pernah menjadi pemerhati, perwakilan dan mewakili negeri membahaskan ucapan dasar Presiden. Pernah juga menyamar sebagai perwakilan menggantikan sahabat yang tidak dapat hadir menjadi pewakilan semasa satu muktamar khas meminda perlembagaan PAS di akhir era 90-an dahulu.

Kenangan lalu

Pelbagai kenangan masam manis diperolehi sewaktu Muktamar PAS. Pernah sautu ketika saya dan sahabat-sahabat dihalau ketika baru melabuhkan badan untuk berehat di sebuah masjid di sekitar Taman Melewar. Kami dihalau tidak boleh tidur dalam masjid. Terpaksalah kami bermalam di kaki lima masjid. Banyak kali juga tidur di Surau Haji Hassan Taman Melewar dan Masjid Padang Balang. Semua itu menjadi kenangan manis kepada saya. Semua kenangan ini, kita mematangkan kita semua bahawa ianya hanyalah cubaan yang tiada nilainya jika dibandingkan dengan cubaan dan mehnah sahabat-sahabat kita pejuang Islam di seluruh dunia.

Bekalan 

Muktamar tahun ini sekali lagi saya hadir sebagai perwakilan mendengar dan menekuni ucapan dasar, perbahasan ucapan dasar, perbahasan usul dan ucapan penangguhan. Semua itu menjadi info dan bekalan untuk meneruskan perjuangan dan mendepani segala rintangan dan cubaa dalam meneruskan kesinambungan gerakan Harakah Islam ini.


Pemilihan

Kali ini kita menyaksikan para perwakilan memilih saf kepimpinan untuk sessi 2013/2015. Bagi saya pemilihan bukan perkara yang penting kerana saf kepimpinan yang terpilih semuanya mempunyai fikrah perjuangan yang sama iaitu menjadikan Islam sebagai matlamat perjuangan. Sesiapa yang terpilih sudah pasti akan memberikan wala' kepada Islam dan tidak akan lari dari aqidah perjuangan Islam yang dibawa oleh PAS. Mereka dipandu oleh Majlis Syura Ulama' dan tidak mungkin akan lari dari prinsip dan aqidah perjuangan. Saf kepimpinan hatta Presiden sendiri tidak boleh membuat keputusan sendiri dalam semua hal berkaitan prinsip dan hala tuju perjuangan. Inilah rahsia kelangsungan perjuangan PAS yang kekal dan semakin bertambah maju dari masa ke semasa. Di saat parti-parti lain seperti Parti Negara, Semangan 46, Pekemas, Nasma dan sebagainya berkubur tanpa nesan, PAS tetap teguh dan utuh malah terus berkembang. Semua ini tidak lain tidak bukan adalah kerana PAS meletakkan Islam sebagai asas perjuangan.

Saf kepimpinan telah dipilih, congakan dan ramalan saya Alhamdulillah tepat di mana Mohd Sabu dipilih sebagai Timbalan Presiden manakala Salahuddin, Ustaz Tuan Ibrahim dan Husam Musa diamanahkan sebagai Naib-Naib Presiden. Walaupun saya agak terkilan kerana 'line up' yang saya harapkan tidak menjadi menjadi kenyataan namun sebagai ahli sebuah gerakan Islam ulung PAS, kita semua wajib taat dan wala' kepada keputusan jemaah selagi ianya tidak bertentangan dengan Islam. Calon-calon yang harapkan akan menjadi peneraju parti awal-awal lagi menarik diri dari bertanding kerana merasakan diri mereka tidak layak untuk memegang amanah besar parti. Inilah tarbiah hebat PAS, ahli dan pimpinannya tidak mengejar jawatan dan pangkat tetapi sentiasa mengukur kemampuan sendiri utnuk memegang sesuatu amanah.

Masalah teknikal yang melibatkan proses pemilihan sedikit mencalarkan imej PAS sehingga ia dijadikan tajuk utama oleh sesetengah media. Perkara sebegini boleh dielakkan jika pihak berkaitan berhati-hati dan membuat kajian menyeluruh sebelum sesuatu pembaharuan dibuat dari segi perjalanan proses pengundian dan kertas undi itu sendiri.

Ucapan Dasar

Ucapan dasar Presiden bertemakan 'Rahmat Untuk Semua' memang relevan, terkini, realistik, penuh berfakta dan sudah pasti menjadi pedoman kepada semua ahli dalam mendepani perjuangan yang mencabar ini. Ianya menjadi kesinambungan kepada ucapan dasar sebelum ini PAS untuk semua dan lain-lain.Tuan Guru Presiden sekali lagi berjaya meneruskan kesinambungan ucapan dasar beliau dan semua Presiden PAS sebelum ini yang berjaya membaca situasi terkini samada di dalam PAS maupun di luar PAS. Beliau menyentuh semua aspek penting dan disulami dengan arahan-arahan jelas yang mesti dipenuhi oleh ahli dan kepimpinan PAS. 

Muktamar eratkan ukhuwwah

Seperti biasa Muktamar PAS juga menjadi medan kepada saya untuk bertemu dengan sahabat-sahabat lama dan baru. Saya sempat bertemu dengan 2 kelompok sahabat iaitu sahabat-sahabat yang muda dan yang seangkatan dengan saya semasa menuntuk di utara tanahair di akhir era 80-an dan 90-an dahulu. Bertanya khabar, mengimbau kenangan manis dan buruk di alam perjuangan kampus menjadikan ia suatu program yang sentiasa saya nantikan saban tahun. Cuma satu pesanan kepada diri saya dan sahabat-sahabat semua jangan lari dari jamaah ........dekatilah program dan aktiviti jamaah kerana jamaah amat memerlukan kita semua.

Tahniah kepada tuan rumah

Sekalung ucapan tahniah kepada tuan rumah Muktamar tahun ini iaitu Badan Perhubungan PAS Negeri Selangor (BPPNS) yang sekali lagi berjaya mengendalikan muktamar penuh gilang gemilang. Walaupun ada sedikit caca celanya namun secara keseluruhannya ia berjalan dengan baik. Sekalung ucapan tahniah kepada seluruh panitia Muktamar. Jasa dan pengorbanan kalian Insya Allah dibalas oleh Allah dengan balasan yang setimpal dan menjadi bekalan ketika bertemu denganNya. 

Cuma satu masalah besar yang sedikit menyusahkan ramai pihak iaitu line telefon dan internet yang boleh dikatakan terlalu lemah. Mengapa ini berlaku mesti dikaji dan dilaporkan kepada kita semua. Adakah pihak panitia membuat ujian dan pemeriksaan sebelum Muktamar dijalankan. Apakah puncanya? Adakah ianya melibatkan unsur-unsur sabotaj atau diskriminasi. Ianya memberikan imej buruk kepada PAS kerana perkara yang semudah inipun gagal diatasi oleh PAS.

Muktamar ke 59 sudahpun melabuhkan tirainya. Saf kepimpinan telah dipilih. Maka sekarang bukan masanya untuk kita tidak berpuashati dengan mereka yang dipilih. Jamaah telah membuat keputusan dan ianya wajib ditaati. Rapatkan saf, susun saf, atur strategi dan teruskan langkah bergaya untuk kita semua menjadi 'RAHMAT UNTUK SEMUA'.

Mari sama-sama kita penuhi arahan dari Tuan Guru Presiden iaitu :


  1. Semua pihak dalam Dewan, Lajnah, Badan Perhubungan PAS Negeri dan Wilayah serta Kawasan mestilah mempunyai kefahaman yang jelas terhadap tema ”RAHMAT UNTUK SEMUA”, dan seterusnya bertindak merangka perancangan dan strategi pelaksanaan agar intipati ini dapat berada dalam masyarakat dan difahami bahawa dasar Islam ini dibawa oleh PAS. Jadikanlah tema ini sebagai sesuatu yang benar bernafas, bukan sekadar slogan kosong yang sedap didengar sebagai halwa telinga untuk Muktamar semata-mata.
  2. Badan Perhubungan PAS Negeri-Negeri dan Wilayah Persekutuan juga perlu lebih dinamik dalam gerakerja tersusun yang mempunyai sasaran bulanan dan tahunan, menambahkan ahli yang berkualiti, mendekati medan baharu dalam masyarakat, dan mempunyai sekurang-kurangnya 50% program di kalangan ahli baharu atau masyarakat awam di luar lingkungan ahli jamaah. Penentuan petunjuk prestasi perlu dibangunkan, sebagai sasaran kerja yang lebih terarah. Kukuhkan organisasi parti dengan berbagai ilmu pengurusan, kepimpinan perlu dibajai dengan tarbiyah untuk membentuk diri seterusnya mengikhlaskan niat perjuangan. Usaha yang berterusan untuk mengaktifkan ILHAM, dan modul-modul pembinaan diri ahli di berbagai peringkat mestilah diperkukuhkan dengan menjadikannya sebagai salah satu sasaran tahunan.
  3. Sabah dan Sarawak adalah rakan penting dalam pembentukan Malaysia. Rakyat di sana telah bersama dalam referendum yang melahirkan negara Malaysia, maka hargailah hasil yang turut sama dibina oleh rakyat Sabah dan Sarawak ini. Maka seluruh jentera PAS di medan ini perlulah berusaha gigih untuk menyedarkan rakyat tentang hak mereka ini supaya tidak dibuli oleh UMNO-BN disetiap masa dan ketika. Badan Perhubungan PAS di Sabah dan Sarawak pula perlulah melengkap dan memperkemaskan organisasi, mempertingkatkan kerja dakwah, menghilangkan phobia masyarakat di sana terhadap PAS, dan seterusnya merakyatkan PAS supaya diterima sebagai parti yang berupaya menjadi tempat bergantung mereka.
  4. Dewan Ulama pula merupakan nadi denyutan jamaah yang perlu bertindak pantas menjadi jurubicara jamaah dan menjelaskan isu di sekitaran dengan merujuk kepada panduan al-Quran dan as-Sunnah, ijma dan qiyas. Bahan-bahan penerbitan dalam pelbagai rupa dan bentuk yang bersesuai dengan masyarakat perlu lebih dinamik dan bertenaga menjelaskan pendirian jamaah khususnya menterjemahkan Islam bagi menangani masalah semasa, juga membantu kerajaan negeri melaksanakan Islam yang menjadi rahmat kepada seluruh alam. Perbincangan ilmiah dan seminar khusus dalam memahami persoalanmaqasid syariah, siyasah syari’yyah, perlu dijalankan dari masa ke semasa untuk menangani ketidakfahaman dalam masyarakat kita ini dan seterusnya menyediakan penyelesaian yang sesuai untuk sepanjang zaman.
  5. Dewan Pemuda pula mestilah sentiasa dinamik, melengkapkan diri dengan ilmu Islam dan kefahamannya, serta bersedia menyambung legasi perjuangan kepimpinan terdahulu sehingga mampu untuk melakukan islah di dalam masyarakat Malaysia yang masih sarat denganberbagai fikrah yang berlawanan dengan Islam. Inovasi baharu dakwah perlu diterokai. Pemuda juga perlu mendepani isu semasa nasional, tempatan dan antarabangsa; dan mampu mengenengahkan permasalahan ummah dan mencadangkan penyelesaiannya dengan menonjolkan Islam sebagai rahmat untuk sekalian alam.  Program siyasah yang bersifat inklusif perlulah diterokai untuk mendekatkan diri kepada masyarakat awam di luar sana.
  6. Dewan Muslimat perlulah mendepani berbagai isu dalam bahasa yang mudah dan menyentuh hati nurani masyarakat dalam negara kita ini, bahkan menerokai isu-isu antarabangsa. Program dalaman seperti tarbiyah wajar dimantapkan lagi, sejajar dengan keperluan semasa terutamanya untuk berdepan dengan zaman penggunaan pelbagai media supaya Dewan Muslimat berperanan besar dalam masyarakat terkini yang meletakkan kaum wanita menjadi penentu kepada wajah umat dan negara.
  7. Dewan Himpunan wajar untuk diperkembangkan peranan mereka dengan mempunyai modul-modul latihan khusus kepada ahlinya. Modul ini perludibangunkan, untuk melahirkan ahli Dewan Himpunan yang mampu bergerak dengan lebih baik lagi sebagai satu dari sayap parti yang penting, menjadi jambatan atau pintu yang menghubungkan rahmat Islam perjuangan PAS kapada kaum bukan Islam.
  8. Kawasan dan Cawangan perlu mempunyai sasaran kerja yang jelas yang dan dipantau oleh pimpinan negeri. Zaman mesyuarat tanpa fail dan tidak berkala itu adalah sudah berlalu. Program dalaman seperti program tarbiyah dan latihan mestilah menjadi agenda yang penting dalam aktiviti Kawasan dan Cawangan.
  9. Ahli dan kepimpinan PAS yang memikul amanah sebagai Ahli Dewan Negara, Ahli Dewan Rakyat, Ahli Dewan Undangan Negeri, Ahli Majlis dan Anggota Lembaga Pengarah, Ketua Kampung dan semua yang berkaitan perlulah melaksanakan amanah dengan sepenuhnya mengikut adab dan batas-batas akhlak, kerana peranan mereka yang telah dipilih oleh rakyat ini adalah sebagai wajah depan PAS. Prestasi mereka akan dipantau, dinilai dan akan dibantu oleh jemaah sekiranya terdapat kelemahan dalam melaksanakan tugas mereka. Semua dari kalangan mereka ini akan dijemput menyertai forum, perbincangan meja bulat, bengkel dan sesi latihan yang bersesuaian supaya lebih mahir dan dapat membantu dalam menjalankan tugas masing-masing.
  10. Ahli – ahli PAS secara keseluruhannya perlulah mempunyai disiplin dan akhlak yang tinggi, merapatkan saf ahli, mempunyai hubungan dengan Allah yang kuat, berada dalam suasana sentiasa dahagakan ilmu, dan seterusnya terlibat dalam aktiviti majlis ilmu, usrah, tamrin, muqayyam dan sebagainya dengan pelbagai pendekatan yang sesuai dengan waqi’ dan keupayaan masing-masing.










Comments