Umno ............ooops silap.... bukan Umno tetapi DAP yang menyeru rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama menyertai Himpunan Munajat Perdana 100k esok bagi menunjukkan solidariti untuk rakyat Mesir.
Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP Anthony Loke berkata, isu keamanan sejagat dan hak asasi manusia menjangkaui batasan kaum, agama dan fahaman politik dan perlu dipertahankan oleh seluruh umat manusia.
"Saya dan pemimpin-pemimpin DAP yang lain akan turut menyertai himpunan tersebut," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.
Himpunan anjuran Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) itu akan diadakan di Padang Merbok bermula jam 4 petang hingga 9 malam esok.
Sementara itu, DAP turut menyeru Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak memanggil segera sidang khas Parlimen untuk mengutuk sekeras-kerasnya pembunuhan beramai-ramai di Mesir.
Malaysia juga tegasnya perlu menyatakan pendirian yang tegas menuntut Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu bertindak mengembalikan keamanan di Mesir.
"Kekerasan melampau yang diambil oleh rejim tentera tersebut ke atas rakyatnya sendiri merupakan satu tindakan kekejaman yang tidak berperikemanusian.
"Masyarakat antarabangsa perlu bersolidariti bersama rakyat Mesir dan menuntut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mengambil apa sahaja tindakan yang sepatutnya untuk mengembalikan keamanan di Mesir," katanya yang juga Ketua Whip DAP.
Beliau juga berkata, Pakatan Rakyat pernah menyokong usul yang dibawa kerajaan pada 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza.
"Parlimen Malaysia pernah mengadakan sidang khas pada 12 Januari 2009 untuk mengutuk kekejaman Israel terhadap penduduk Palestin di Gaza. Dalam sidang khas tersebut, Pakatan Rakyat telah memberikan sokongan penuh kepada usul yang dibawa oleh Kerajaan untuk membuktikan pendirian tegas rakyat Malaysia yang cintakan keamanan," tambahnya.
Loke yakin Pakatan Rakyat akan sekali lagi menyokong penuh sekiranya perdana menteri memanggil sidang khas Parlimen dan mengemukakan usul untuk mengutuk rejim tentera Mesir.
Sumber ; harakahdaily
Comments