Kemenangan Barisan Nasional dengan penuh penipuan dan bantuan Suruhanjaya Pilihan Raya pada 5 Mei lalu, akhirnya 'klimaks' tersebut dibuktikan sebagai titik bermulanya nasib yang lebih malang untuk rakyat Malaysia. Mungkin untuk tempoh 5 tahun, dan tidak mustahil untuk tempoh lagi 50 tahun.
Semua harus sedar bahawa PRU13 adalah peluang terbaik untuk bukan sahaja menyelamatkan negara ini, malah rakyatnya juga. Semua harus sedar betapa perubahan dasar negara ini untuk menjadi lebih mesra rakyat, mesra kepada rakyat dalam ertikata sebenar hanya boleh berlaku selepas tumbangnya regim Barisan Nasional. Ini fakta yang klasik, walaupun masih belum dibuktikan namun ia satu kepercayaan umum.
Minggu ini ada dua berita tidak baik, pertama mengenai kenaikkan tarif letrik dan kedua fasal peminjam PTPTN yang gagal membayar pinjaman secara konsisten bakal kehilangan hak untuk 'hidup' apabila nama disenaraikan dalam sistem CCRIS. Ini sangat pelik, apakah negara ini sudah rosak apabila pinjaman untuk melanjutkan pelajaran sudah setaraf dengan pinjaman kad kredit, sewa-beli kenderaan dan pinjaman perumahan. Padahal terma 'pinjaman' itu sendiri sepatutnya diganti biasiswa.
Kedua-duanya berita di atas punya kesan langsung yang menambah kesempitan hidup rakyat dan diburukkan lagi oleh beberapa siri kenaikan harga barang keperluan asas dan harga perkhidmatan.
Di sebalik keuntungan berbilion syarikat monopoli TNB, khabaran kenaikkan tarif sudah kedengaran sejak awal tahun. Ia dititik-beratkan lagi ketika memasuki musim pilihanraya dengan detonasi kenaikkan tarif letrik akan berlaku sekiranya kerajaan BN kekal memerintah. Nah, ia benar-benar berlaku.
Apakah rasional sebuah syarikat monopoli berkaitan kerajaan yang sudah untung berbilion, menaikkan lagi tarif letriknya. Tidak kiralah apa jua alasannya samada untuk menampung kos operasi TNB atau menokok tembolok pengusaha IPP, soalnya mengapa rakyat terus menjadi mangsa? Sebagai syarikat monopoli yang mana tiada satupun bil letrik dibayar kepada pihak selain TNB, sepatutnya tidak mencari keuntungan syarikat semata-mata tetapi rakyat yang menjadi pelanggan setia ini juga perlu dipelihara.
Kerajaan sepatutnya menyebelahi rakyat, sepatutnya menjadi pelindung rakyat, kerana itu kerajaan itu dipilih rakyat. Namun apakan daya, ini kerajaan 47 peratus, kerajaan undi pos, kerajaan dakwat pewarna makanan, penyangak yang menipu ini mana mungkin berniat menjaga rakyat.
Rungutan mula kedengaran, tarif letrik dikatakan mula naik mendadak sebanyak dua kali ganda dari kebiasaan sejak beberapa bulan lalu. Difahamkan, kenaikkan luar biasa ini berlaku setelah pengenalan meter letrik jenis baru. Ia bukan kes terpencil, pengalaman kenaikkan bil secara luar biasa ini dirasai semua.
Jika sebelum ini ramai pengguna yang kurang berkemampuan dan tidak punya banyak perkakas elektrik mendapat manfaat bil letrik percuma apabila mempunyai bil bawah RM20, kini angka RM20 sebulan itu hampir mustahil dicapai dengan penggunaan meter baru yang serba kejam. Itu belum lagi dikira kenaikkan tarif letrik.
Rakyat yang cuba meminimakan penggunaan eletrik, bergelap demi sedikit 'cahaya' supaya mendapat pengecualian RM20, namun keistimewaan ini ditarik secara terancang. Apakah kenaikkan tarif ini juga satu cara untuk pastikan semua bil letrik melebihi RM20 dan seterusnya tercicir dari dikecualikan pembayaran?
Inilah bonus kepada rakyat Malaysia hasil dari kekalnya sebuah kerajaan korup yang bermodalkan retorik 'negara aman'. Lebih menarik, minggu ini kita dikurniakan 'bonus kombo' apabila dua hadiah musibah dipakejkan sekali. Sedang menunggu giliran untuk diberikan kepada rakyat termasuklah pelaksanaan cukai GST sepenuhnya, pengenalan TPP dan seribu kamera AES sebagai bonus minggu akan datang.
Justeru, apa lagi yang kerajaan mahu dari poket rakyat? Apakah rakyat hanya perlu pasrah dan berserah?
Kami dari SAMM tidak sesekali menyerah. SAMM dan beberapa front anak muda serta front mahasiswa telah bertekad mengambil jalan yang lebih radikal demi memastikan keadilan berada di tempatnya. Masa depan kami menjadi pertaruhan demi masa depan seluruh anak bangsa.
Radikal? Radikal itu bukan maksudnya bakar kereta, mohon jangan ditafsir dengan sifat bebal. Sifir 'jangan gopoh' dan sifir ikut saluran petisyen yang digunapakai akhirnya memakan diri apabila sekali lagi diperbodoh oleh regim penyangak. Bodoh ini dibayar pula dengan jumlah jutaan ringgit - ini contoh kebodohan berbayar.
Bagi SAMM, penipuan pilihanraya yang didalangi oleh SPR perlu dibangkitkan semula. Jawatankuasa SPR perlu diburu selagi tidak melepaskan jawatan masing-masing. Ingatlah bahawa hak rakyat untuk menikmati penurunan harga petrol seterusnya kelegaan harga keperluan asas dinafi oleh demokrasi mati, hasrat mahasiswa untuk PTPTN dimansuh turut dimusnahkan gara-gara penafian hak menukar kerajaan.
Dataran Merdeka wajib menjadi sasaran supaya diduduki sebagai tanda protes dan bantahan khususnya di atas penafian demokrasi yang berterusan. BERSIH 4.0 dilihat platform terbaik untuk perlawanan terbaru.
Akhir sekali, mungkin ada yang bertanya mengapa ulasan saya mengenai nasib peminjam PTPTN yang disenarai CCRIS sangat minima dalam tulisan ini, cukuplah sekadar saya berpesan kepada peminjam PTPTN yang disenarai-hitam: Ayuh lawan, atau melaratlah sampai mati! Sad but true...
Edy Noor Reduan
Aktivis Blogger
Pengarah Propaganda SAMM
Comments