PERSEMPADANAN BARU PRU : PASTI DIBUAT UNTUK KEKALKAN KUASA BN

Sekarang ini riuh rendah pasal persempadanan baru kawasan pilihanraya. Edah untuk membuat persempadanan baru telah sampai. Kali terakhir persempadanan kawasan pilihanraya dibuat menjelang PRU 2004. Ia siap sepenuhnya pada 2003 dan digunakan pada PRU 2004. Jumlah kerusi Parlimen menjadi 222 dan lebih 500 kerusi Dun dibentuk. 

Pada persempadanan tahun 2003, SPR memperbanyakkan kawasan parlimen yang komposisi kaumnya bercampur (mixed). Banyak kawasan-kawasan yang peratusan pengundi bukan Melayu antara 30-45 % dibentuk dengan mengambil kira bahawa pengundi bukan Melayu akan tetap setia kepada BN. Maka pada waktu itu kerusi-kerusi Parlimen Melayu tidak ditambah. Buktinya kerusi-kerusi tidak ditambah di Kelantan, Kedah, Perlis dan Terengganu padahal ada kawasan-kawasan Parlimen di negeri-negeri itu pengundinya mencecahkan 60,000-70,000 sedangkan ia digolongkan sebagai kawasan pedalaman. Contoh terbaik ialah kerusi Parlimen Baling yang tidak dipecahkan walaupun pengundinya sudah mencecah lebih 65,000. 

Mengikut kriteria kawasan pilihan raya bagi sesebuah Parlimen di bandar ialah mempunyai pemilih berjumlah 60,000 orang ke atas, berkeluasan di antara lapan dan 49 kilometer (km) persegi manakala jumlah pengundi bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) di bandar ialah 25,000 orang ke atas.

Bagi kategori separuh bandar pula, kawasan parlimen perlu mempunyai keluasan di antara 50 dan 250km persegi dengan jumlah pemilih bagi kawasan Parlimen berjumlah 30,000 hingga 59,000 orang manakala jumlah pemilih DUN ditetapkan di antara 15,000 dan 24,000 orang.

Bagi kategori luar bandar dan pedalaman pula, ia terletak dalam kawasan kurang daripada 250km persegi dengan jumlah pengundi Parlimen di bawah 30,000 orang manakala jumlah pemilih DUN kategori itu berjumlah di bawah 15,000 orang.


Antara contoh terbaik penyelewengan dan penipuan SPR ketika persempadanan 2003 ialah apa dilakukan mereka di Kedah, Kelantan dan Terengganu. 

Beberapa daerah mengundi yang dikuasai orang Melayu di Padang Serai dipindahkan ke Baling, menjadikan jumlah pengundi di Padang Serai dalam PRU11; turun ke 53,925 sementara pengundi di Baling, naik kepada angka 74,808. Secara perbandingan, kawasan parlimen Baling, Kuala Kedah dan Pokok Sena adalah kawasan luar bandar, amat jauh berbeza Padang Serai, semi-urban dan Alor Star, sebuah bandaraya, yang mempunyai pengundi lebih kecil berbanding kawasan luar bandar. Parlimen Baling satu kawasan yang sangat luas berbanding Alor Star. 

Dalam PRU10, bilangan pengundi Parlimen Pokok Sena; 68,125, Parlimen Alor Star; 63,678, Parlimen Kuala Kedah; 61,114, Parlimen Baling; 64,234 dan Parlimen Padang Serai; 64,294. Pokok Sena, Kuala Kedah dan Baling dimenangi Pas, Alor Star dan Padang Serai dimenangi oleh MCA. 

Tiada pertambahan kerusi sama ada Parlimen atau DUN di negeri Kedah, cuma perubahan sempadan sahaja, di mana sebahagian daerah mengundi majoriti Cina di Alor Star dipindahkan ke Kuala Kedah dan Pokok Sena. Beberapa daerah mengundi majoriti Melayu di Pokok Sena dipindah ke Parlimen Kubang Pasu. Menjadikan jumlah pemilih dalam PRU11, pengundi Parlimen Alor Star turun ke 57,313, pengundi Kuala Kedah naik ke 78,791 dan Pokok Sena; 68,072 pemilih.

Dalam PRU13 tempoh hari, jumlah pemilih Parlimen Baling; 93,168, Kuala Kedah; 95,328 pemilih, sementara pengundi Parlimen Alor Star; 69,009 dan Padang Serai; 74,095 pemilih. Tidak munasabah sekali kawasan pedalaman seperti Baling yang luas mempunyai pengundi yang jauh lebih ramai dari kawasan bandar seperti Alor Setar. Sepatutnya Baling boleh dipecahkan menjadi 2 parlimen kerana jumlahnya pengundi yang ramai dan kawasannya yang luas ditambahkan lagi dengan statusnya iaitu kawasan luar bandar.

Di Kelantan, negeri BN menjadi pembangkang, tiada pertambahan kawasan pilihan raya Parlimen dan tambah 2 kawasan baru untuk kerusi DUN. Kedua-dua kerusi adalah hasil persempadanan semula kawasan yang dimenangi UMNO; Bukit Bunga (dalam Parlimen Jeli) dan Nenggiri (dalam Parlimen Gua Musang).

Di Terengganu, tidak ditambah sebarang kerusi dan tidak dilakukan persempadanan kawasan pilihan raya secara besar-besaran, cuma sedikit perubahan daerah mengundi. Kerusi Parlimen Kuala Terengganu memiliki 64,435 pemilih dalam PRU10, dan Parlimen Marang; 58,559 pemilih. Dalam PRU11, Kuala Terengganu mengandungi 72,259 pengundi dan Marang; 64,387 pegundi. Dalam PRU13, jumlah pemilih di Kuala Terengganu; 94,561 dan Marang; 90,926. Kuala Terengganu kawasan bandaraya dan Marang semi-urban, kawasan cenderung kepada Pas. Sepatutnya kedua-dua parlimen itu sudah lama dipecahkan dengan mengujudkan sekurang-kurangnya 1 Parlimen baru kalaupun tidak 2 parlimen.

Kawasan Parlimen tradisi UMNO, Hulu Terengganu mempunyai 39,199 pengundi dalam PRU10. Dalam PRU11; 45,258 dam dalam PRU13; 63,667. Kalau ikut nisbah keluasan kawasan, kawasan bandar-desa dan kepadatan pendduduk yang diamalkan di negeri-negeri lain, kawasan Parlimen Kuala Terengganu, Marang dan Hulu Terengganu, boleh dipecahkan kepada 2 kawasan Parlimen baru. 

Angka pemilih sesuatu kawasan pilihan raya dari PRU10 diambil sebagai asas perbandingan kerana PRU10 adalah wajah sebelum persempadanan semula 2003, sementara angka PRU11, selepas persempadanan dan angka PRU13, angka terakhir digunakan oleh SPR.

Jauh berbeza dengan amalan di negeri lain. Di Perak, pengundi Parlimen Gerik dalam PRU10; 38,637, Parlimen Chenderoh; 36,121,  Selepas persempadanan, diwujudkan Parlimen Lenggong dan Chenderoh ditukar kepada Padang Rengas, dan pemilih diagihkan dalam PRU11; Gerik; 24,646 pemilih, Lenggong; 23,159 dan Padang Rengas; 24,963. Dalam PRU13: Gerik; 32,814, Lenggong; 28,018, Padang Rengas; 28,572. Semua kawasan ini adalah kubu kuat UMNO.  Kalaulah format yang sama digunakan di Kedah, Kelantan dan Terengganu sekurang-kurangnya 10 parlimen baru boleh diujudkan di ketiga-tiga negeri tersebut. Malangnya SPR telah menjadi kuda tunggangan BN sehingga tidak berani mengujudkan parlimen baru diketiga-tiga negeri tersebut kerana dikhuatiri akan menyebabkan kerusi PR bertambah. 

Di Kelantan, kawasan paling pedalaman ialah Parlimen Jeli dan Gua Musang. Dalam PRU13, pengundi Jeli ialah 43,340 dan Gua Musang; 40,271 pemilih. Perbandingan Jeli-Gua Musang yang dipisahkan oleh Banjaran Titiwangsa dengan Gerik-Lenggong-Padang Rengas, amat mengkatarakan kepentingan untuk jaminan kepentingan parti berkuasa mengatasi amalan eksekutif.

Parlimen Kuala Kangsar, kawasan elit, kawasan Bandar Diraja memiliki seramai 32,831 pengundi dalam PRU10, dalam PRU13 cuma ada 33,607 pengundi sahaja, tidak menggambarkan menepati asas merit bandar-desa, berbanding kawasan Parlimen luar bandar di negeri-negeri Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Di Pahang, dalam PRU10, Parlimen Paya Besar mengandungi 53,281 pengundi dan Parlimen Pekan 35,832 pengundi. Parlimen Paya Besar adalah sebahagian pinggir bandar dan selepas persempadanan 2003, jumlah pemilih dalam PRU11 di Paya Besar; 37,440 dan Pekan; 52,687. Kesan kemenangan tipis pemimpin kanan di kawasan Parlimen tradisi UMNO yang pernah diwakili Perdana Menteri Kedua dan Bandar Diraja Pahang, 241 undi dalam PRU11, mendorong persempadanan semula kawasan Parlimen Pekan dengan meluaskan kawasan dan memindahkan sebahagian kawasan Paya Besar, menghasilkan kemenangan penuh bergaya bagi seorang Timbalan Perdana Menteri. Pengundi di Pekan bertambah dengan kadar yang tinggi dalam PRU12; 58,217 dan PRU13; 80,389 orang, yang memberikan kemenangan besar buat TPM kemudiannya PM ke 6. 

Contoh di Selangor, dalam PRU10, pemilih di Parlimen Sabak Bernam; 34,635 dan Tanjong Karang; 42,109. Selepas persempadanan semula, dalam PRU11, dua kawasan ini dijadikan tiga kawasan Parlimen: Sabak Bernam (30,862 pengundi), Sungai Besar (31,001 pengundi) dan Tanjong Karang (35,816 pengundi). Dalam PRU13: Sabak Bernam; 37,390, Sungai Besar; 42,923 dan Tanjong Karang; 40,271 pemilih.

Di Johor, pengundi Parlimen Segamat dalam PRU10; 60,782 dan Labis; 48,674. Kedua-dua kawasan ini adalah kawasan campuran: bandar, kampung tradisional, penempatan Felda. Dalam PRU11, selepas persempadanan semula diwujudkan satu kawasan Parlimen baru; Sekijang, dengan pengundi: Segamat; 40,982, Sekijang; 32,594 dan Labis; 32,518. Dalam PRU13: Segamat; 47,115 pengundi, Sekijang; 43,129 pengundi dan Labis; 37,787 pengundi.

 Dengan sedikit kutipan contoh di atas, jumlah pemilih di kawasan-kawasan Parlimen yang dimenangi oleh calon BN atau kerusi selamat, di negeri-negeri Perak, Selangor dan Johor, jauh lebih rendah pengundinya berbanding kawasan-kawasan yang tidak selamat untuk BN di Kedah, Terengganu dan Kelantan. 

Untuk persempandan kali ini ramai menjangkakan bahawa SPR akan merobek persempadanan kawasan pilihanraya ini dengan memperbanyakkan kawasan majoriti Melayu dan mengumpulkan pengundi-pengundi Cina di dalam satu-satu kawasan sehingga jumlah peratusan mereka meningkat menjadi 80-90 %. Manakala lokaliti-lokaliti dan daerah mengundi yang majoriti Melayu akan dimasukkan ke dalam Dun-dun atau parlimen-parlimen baru atau lama yang majoritinya Melayu. Maka akhirnya nanti akan ujud dan bertambahlah banyak kerusi parlimen dan dun dengan majoriti Melayu antara 70-85%. Manakala kerusi-kerusi campuran akan berkurangan dan di gantikan dengan kerusi-kerusi di mana peratusan pengundi Cina sehingga 70-90 %. 

Mereka akan berusaha untuk menambahkan kerusi yang peratusannya pengundi Melayunya tinggi dan pada masa yang mengurangkan kerusi campuran dengan digabungkan dengan kerusi-kerusi majoriti pengundi Cina supaya jumlah kerusi campuran dan kerusi majoriti pengundi Cina berkurangan. Sekali lagi mereka akan melanggar skema dan spesifikasi yang sepatutnya digunapakai untuk persempadanan baru kawasan pilihanraya. 

Sebagai contoh untuk Dun Bukit Baru yang merupakan kerusi campuran di mana 35 % pengundinya adalah bukan Melayu. Mereka akan memasukkan dua peti undi yang majoriti Cina iaitu Bukit Baru Dalam dan Kg Ku Sayang ke dalam Dun Bachang yang sememangnya kerusi DAP. Akhirnya DAP akan menang mudah di Bachang tetapi pada masa yang sama PAS akan tewas di Bukit Baru kerana 2 kubu kuatnya iaitu Bukit Baru Dalam dan Kg. Ku Sayang yang dimenangi dengan majoriti lebih dari 1000 undi telah tiada lagi dalam Dun Bukit Baru. Sebagai ganti mereka boleh memasukkan Peti Undi Pengkalan Minyak yang 80 % pengundi Melayu ke dalam Dun Bukit Baru.

Begitu juga untuk Parlimen Bukit Katil di mana mereka boleh memasukkan beberapa peti undi yang peratusan pengundi Cinanya tinggi seperti Malim Jaya ke Parlimen Kota Melaka dan Sg. Putat, Bukit Beruang serta Taman Merdeka ke Parlimen Alor Gajah. Semua ini boleh dilakukan demi masa depan politik pencacai mereka.

Pemerhati politik melihat bahawa persempadanan baru kali ini akan lebih parah kerana ianya sudah tentu akan menjadi medan untuk memastikan BN terus berkuasa lebih-lebih lagi dengan keputusan PRU 2008 dan 2013 di mana BN gagal mendapatkan kembali majoriti 2/3 yang sentiasa mereka kecapi sebelum PRU 2008 (PRU 12).

Comments