MANFAATKAN PUSAT KHIDMAT ADUN BUKIT BARU

Pesuruhjaya PAS Melaka, Haji Adly Zahari telah merasmikan Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru dalam satu majlis yang meriah semalam. Dalam ucapan perasmiannya Adly berkata kejayaan PAS memenangi Dun Bukit Baru menjadi titik permulaan perubahan politik negeri Melaka yang sebelum ini dilihat mustahil untuk dimenangi oleh PAS.

“Kita berjaya membuka mata seluruh rakyat negeri Melaka dan seluruh negara ini yang seolah-olah merasakan PAS tidak akan mampu memenangi sebarang kerusi di Melaka”.

“Khurafat yang meletakkan bahawa mustahil untuk PAS menang di Melaka telah kita sama-sama buang dan kini rakyat  khususnya orang Melayu tidak takut lagi untuk menyokong dan mengundi PAS” ujar Adly.

Beliau berkata Adun Bukit Baru iaitu Dr Md Khalid Kassim diyakini mampu membawa isu-isu berkaitan orang Melayu dan Islam yang selama ini dipinggirkan oleh kerajaan negeri Melaka khususnya berkaitan tanah wakaf, isu zakat dan sebagainya.

“Kalau sebelum ini bila DAP cuba membawa isu-isu ini pimpinan kerajaan negeri memperli mereka kerana katanya DAP tidak ada kena mengena dengan isu-isu berkaitan agama Islam dan Melayu”.

“Kini ini kerajaan Melaka tidak boleh lari lagi, kita ada wakil dari PAS yang akan mempastikan isu-isu berkenaan dijawab dan diselesaikan dengan telus dan professional”tambah Adly.

Sementara itu Adun Bukit Baru, Dr Md Khalid Kassim dalam ucapannya mengharapkan seluruh penduduk Bukit  Baru menjadikan Pusat Khidmat Masyarakat Adun Bukit Baru ini sebagai tempat untuk mereka menyalurkan maklumat dan isu untuk diketengahkan kepada pihak-pihak berwajib untuk diselesaikan.

“Kita akan bersama-sama berganding bahu bagi memastikan kebajikan rakyat terbela tanpa membezakan fahaman politik, bangsa dan agama”.

“Seluruh rakyat wajib mendapat pembelaan tanpa dipinggirkan. Kita lihat masih ramai rakyat susah dan perlu pembelaan” tambah Dr Khalid.

Turut hadir pada majlis perasmian semalam ialah Pengerusi DAP Melaka yang juga Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Md Akin; Adun Duyong, Goh Leong San; Adun Ayer Keroh,Khoo Poay Tiong; Adun Bachang, Lim Jak Wong; Timbalan Pesuruhjaya PAS Melaka, Ustaz Kamaruddin Sedik dan pimpinan PAS dari semua peringkat.

Pusat Khidmat Masyarkat ini akan beroperasi dari jam 9.00 hingga 5.00 petang hari Isnin-Jumaat dan boleh dihubungi melalui talian telefon/fax 06-2672239 dan email :pusataduan@gmail.com

Comments