PRU 13 : MUNGKINKAH DAP TIDAK BOLEH TANDING GUNA LAMBANG ROKET?

Hanya dua hari menjelang penamaan calon, Pendaftar Pertubuhan (ROS) dikatakan telah menghantar surat kepada DAP memaklumkan bahawa ROS tidak mengiktiraf jawatankuasa eksekutif pusat (CEC) DAP.

Mungkinkah perkembangan ini menjadi lebih buruk di mana calon-calon DAP tidak dibenarkan menggunakan lambang parti mereka iaitu roket. Jika situasi ini berlaku, maka ini merupakan satu tragedi bagi politik kita di mana hanya sehari dua menjelang penamaan calon logo sesebuah parti tidak boleh digunakan. Tidak pernah berlaku perkara seumpama ini sebelum ini.

Namun begitu apa juga perkara boleh berlaku di dalam negara kita yang terkenal dengan sistem demokrasi separuh masak. Banyak keadaan di mana parti pemerintah mendapat layanan lima bintang tetapi parti lain dianak tirikan.

Sementara itu Malaysiakini melaporkan bahawa DAP mengadakan mesyuarat tergempar hari ini untuk berdepan dengan kesan keputusan ROS itu, dan dijangka memanggil sidang akhbar tidak lama lagi.

Pemimpin DAP, ketika dihubungi Malaysiakini, mengesahkan menerima surat daripada ROS, tetapi tidak menyatakan tentang kandungannya.

Surat tersebut yang bertarikh semalam dan dikatakan dari ROS, sedang beredar di Internet. Bagaimanapun, kesahihannya masih belum disahkan oleh DAP atau ROS.

Jika benar, ini merupakan satu tamparan terhadap persediaan DAP untuk berdepan dengan pilihan raya umum 5 Mei ini.

Sehingga kini, juga tidak jelas sama ada ini akan menjejaskan penggunaan logo DAP pada hari penamaan calon.

DAP disiasat oleh ROS berkaitan "kesilapan teknikal" yang berlaku semasa pemilihan parti Disember tahun lepas, yang mengakibatkan barisan awal CEC parti itu dirombak semula.

Parti itu mendakwa terdapat kesilapan teknikal dalam penjadualan (tabulation) undi tetapi pemimpin DAP menolak gesaan diadakan pemilihan baru walaupun terdapat bantahan dari ahli tertentu parti itu.

Comments

Anonymous said…
DAP DICADANGKAN BUAT DEMONSTRASI BESAR2AN DENGAN MENGIBARKAN BENDERA PAS DAN PKR.

DAP AKAN DAPAT LEBIH SOKONGAN DARIPADA ORANG2 MELAYU.