BALING : NAJMI TERUSKAN TRADISI ANAK-ANAK HAJI AHMAD


Keluarga Haji Ahmad memang kesemuanya mendokong perjuangan Islam. Anak-anaknya bermula dengan Dato' Nakhaie, Allahyarham Ustaz Suhaimi, Ustaz Musaddak dan terbaru Dato' Najmi memang terkenal dengan ilmu dan pegangan politik mereka.

Dato' Nakhaie pernah diamanahkan sebagai Naib Presiden PAS dan Ahli Parlimen Baling sebelum berpindah arah menyertai Umno. Beliau sememangnya seorang pemimpin muda PAS yang disegani dan antara yang disebut-sebut bakal menerajui PAS suatu masa kelak. Namun ianya tidak kesampaian apabila keluar dari PAS.

Allahyarham Ustaz Suhaimi Hj Ahmad seorang pejuang kental yang istiqamah hingga ke akhir hayatnya. Beliau pernah menjadi Adun Kupang setelah menang pada PRU 1999. Beliau juga terkenal dengan karekter bersahaja semasa menyampaikan ceramah dan kuliah. Ucapannya semasa perbahasan ucapan dasar pada Muktamar di awal era tahun 2000 cukup mencuit perwakilan dengan istilah 'Pak Kiyai'nya sehingga mendapat reaksi balas dari Almarhum Ustaz Fadzil Mohd Noor. 

Ustaz Musaddak Ahmad seorang pemimpin pelapis di Kedah yang kini diamanahkan sebagai Setiausaha PAS Negeri Kedah. Beliau pernah memimpin Dewan Pemuda PAS Kedah beberapa penggal sebelum diamanahkan dengan jawatannya sekarang. Selain pernah bertanding pilihanraya beliau juga seorang pemidato yang tidak kurang hebatnya.

Kini tradisi keluarga Haji Ahmad diteruskan oleh Brig. Jen (B) Dato Najmi Ahmad (gambar). Sebelum menyertai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) beliau juga telah berjinak-jinak dengan PAS. Seorang lulusan agama dari Universiti Al Azhar dalam bidang syariah. Jawatan terakhirnya ialah Pengarah KAGAT ATM. Pencalonan beliau Insya Allah akan menyemarakkan lagi sokongan rakyat dan pengundi di Baling khasnya dan seluruh negara umumnya. Beliau dikira merupakan calon paling layak untuk menggantikan Dato Taib Azamuddeen untuk kerusi Parlimen Baling bagi mengekalkan kerusi tersebut yang pernah di menangi Ustaz Taib pada PRU 1999 dan 2008.


Comments

Anonymous said…
Assalaamua'laikum, kalau tak silap saya ada saorang lagi adik beradik Dato' Najmi yang pernah jadi MP Pas iaitu Zawawi Hj Ahmad bekas imam masjid negara dan bekas pensyarah di UKM.