BEKAS PRESIDEN MCA DAN BEKAS TIMBALAN KETUA MENTERI PULAU PINANG TANDING BEBAS?

Dua orang bekas pimpinan utama BN iaitu bekas Presiden MCA, Ong Tee Keat (gambar kiri) dan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Mohd Sharif Omar sedang mempertimbangkan dengan serius untuk bertanding atas tiket bebas. Kedua-dua mereka tidak berpuashati dengan tindakan BN yang mengenepikan mereka dari senarai calon BN bagi PRU 13.

Ong Tee Keat memikirkan untuk bertanding sebagai calon bebas bagi kerusi parlimen Pandan, selepas digugurkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) untuk Pilihan Raya 2013.

Dalam tulisan di laman Facebooknya hari ini, beliau bertanya kepada pengundi:"Pengundi Pandan, apakah anda akan menyokong Ong Tee Keat sebagai calon bebas?"

Awal pagi ini sekumpulan penyokongnya dilihat di pasar basah di Pandan untuk menunjukkan sokongan kepadanya, tulis Leslie Lau, Pengarang Eksekutif The Malaysian Insider.

Malam ini, satu lagi kumpulan merancang demonstrasi untuk menyokongnya.

Dengan hari penamaan calon semakin hampir pada Sabtu, Ong masih belum memberikan komitmen untuk bertanding, lapor TMI.

Spekulasi mengenai apa akan dilakukan Ong  dimainkan dengan latarbelakang permusuhannya dengan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek, yang dilihat sebagai di belakang keputusan penyingkiran itu.

Sementara itu Shariff Omar (gambar kanan) memutuskan untuk tetap bertanding di ParlimenTasik Gelugor, yang akan menyebabkan berlakunya pertembungan tiga penjuru.

Dalam kenyataannya dipetik dari Malaysiakini Sharif menyatakan bahawa beliau mahu menjadi "wakil bebas mesra Pakatan", tetapi tidak menyebut parti mana akan dipilihnya.

Ternyata pemilihan calon pada kali ini benar-benar cacamarba dan kusut kerana bukan sahaja Umno yang bermasalah malah MCA dan MIC juga bergolak sama.

Comments