ISU ZAKAT : PJ MELAKA TIDAK GENTAR DENGAN SAMAN KERAJAAN NEGERI


Melaka : Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari menegaskan bahawa beliau akan terus membangkitkan isu penyalahgunaan wang rakyat walaupun beliau menerima writ saman dari Kerajaan Negeri dan Majlis Agama Islam Melaka baru-baru ini.

"Saya akan terus membongkar segala salahurus kerajaan yang dipimpin UMNO dan Barisan Nasional supaya ianya dapat dinilai oleh rakyat Negeri Melaka."

"Saya tidak melihat sebarang keperluan untuk saya meminta maaf atau menarik balik sebarang kenyataan berhubung dengan isu ini." tegas Adly pada sidang media berkenaan isu saman berkenaan.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas berkenaan isu writ saman di Pejabat Perhubungan PAS Negeri di sini pagi ini.

Pada 13 Mac 2013 Adly telah mendapat sepucuk surat berdaftar daripada pihak Rosfinah & Co. yang beralamat di No.15 Jalan Cengal, Taman Merdeka, Batu Berendam Melaka.  Rosfinah & Co. yang mewakili Kerajaan Negeri Melaka dan Majlis Agama Islam Melaka telah membuat writ saman berserta tuntutan (seperti lampiran) kepada tiga penama iaitu beliau sendiri, Ketua Pemuda PAS Kawasan Bukit Katil, Jauhar b Mohamad Dawi dan Ketua Pegawai Operasi Harakahdaily, Mohd Mokhtar Ruzaidi.

Adly berkata beliau tidak akan membuat sebarang bayaran ke atas tuntutan RM100,000,000.00 yang dibuat oleh kerajaan negeri Melaka dan MAIM dalam writ saman tersebut.

Menurutnya beliau bersedia untuk berdepan dengan Datuk Seri Mohd Ali Rustam yang merupakan Ketua Menteri dan pengerusi MAIM di mahkamah.

"Rakyat negeri ini juga mempunyai kepentingan untuk mengetahui dan mengambil maklum terhadap isu tersebut."

"Saya juga ingin tegaskan bahawa isu yang saya bangkitkan adalah isu kepentingan ramai yang menyentuh tentang bagaimana Dana Awam telah disalahurus sepertimana yang dinyatakan di dalam Laporan Ketua Audit Negara sendiri."tambah beliau

Adly juga  percaya sebagai Pesuruhjaya PAS Melaka dan sebagai anakjati Melaka, beliau mempunyai tanggungjawab dari segi agama, moral, politik dan undang-undang bagi membangkitkan isu penyalahgunaan wang rakyat dan sebagai timbalbalas rakyat negeri ini juga mempunyai kepentingan untuk mengetahui dan mengambil maklum terhadap isu tersebut.

Beliau menegaskan bahawa beliau tidak takut dan gentar untuk terus membongkar salah guna kuasa, penyelewengan dan rasuah dengan writ saman ini.

"Saya cukup berkeyakinan bahawa writ saman ini dikeluarkan menjelang tibanya pilihanraya umum yang ke 13, tidak lain bagi menyekat kemaraan dan pengaruh PAS  dan rakan-rakan Pakatan Rakyat  di negeri Melaka ini."

"Ingin saya tegaskan bahawa saya akan terus yakin dan istiqamah untuk membongkar segala salahurus ini, sehingga cita-cita rakyat Melaka untuk mendapat kepimpinan yang adil dan amanah tercapai." ujar beliau yang juga Yang Dipertua PAS Kawasan Alor Gajah.

Beliau telah melantik Peguam Pas iaitu Mohamed Hanipa Maidin dari Tetuan Mohamed Hanipa & Associates bagi mewakilinya di mahkamah nanti.

Sidang media tersebut telah dihadiri oleh pemimpin utama Pakatan Rakyat Melaka antaranya Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San, Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Negeri Melaka, Abdul Rahim Ali, Timbalan Pesuruhjaya 1 PAS Melaka, Ustaz KamaruddiN Sedik, Timbalan Pengerusi DAP Melaka, Lim Jak Wong, Ahli Parlimen Kota Melaka, Sim Tong Him, Adun Ayer Keroh, Khoo Poay Tiong dan pimpinan-pimpinan PAS Negeri Melaka

Comments