15 KERUSI PARLIMEN DI JOHOR BAKAL DITAWAN PR?


Pakatan Rakyat (PR) memberi tumpuan untuk memenangi 15 kerusi Parlimen di Johor sekaligus mengakhiri status negeri itu sebagai “deposit tetap’ UMNO/Barisan Nasional (BN) serta membolehkan PR mentadbir Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU-13) nanti.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, ketika dua hari melawat tiga kawasan Parlimen di selatan Johor iaitu Johor Bahru, Kulai dan Gelang Patah dan menghadiri tujuh majlis memberikan beliau keyakinan bahawa angin perubahan akan bertiup kencang dari negeri itu pada PRU-13 nanti.

Katanya, pada PRU 2008 “tsunami politik 308” melanda dari utara Malaysia apabila PR memenangi Pulau Pinang, Kedah, Perak (yang dirampas secara tidak demokratik oleh UMNO/Barisan Nasional (BN), Selangor dan Kelantan.

Negeri Sembilan juga turut cemas dan PR hampir memenangi satu lagi negeri dalam tsunami politik itu.

“Selepas dua hari melawat Taman Pelangi, Taman Sentosa, Plentong, Gelang Patah, Senai, Bandar Seri Alam dan Johor Jaya serta menyertai ceramah utama DAP UBAH Dream Truck, sambutan orang ramai begitu di luar dugaan sebab itu saya yakin “tsunami politik” lebih besar akan melanda bermula dari selatan dan mara ke semua bahagian di Malaysia.

“Selepas bencana politik yang melanda selepas menjemput bintang K-Pop Korea Selatan, Psy ke Pulau Pinang pada hari kedua Tahun Baru Cina dengan perbelanjaan RM3.5 juta, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terbang ke Johor pada hari berikutnya untuk mendapatkan ketenangan politik.
“Sebab itu pada mesyuarat tertutup dengan UMNO dan BN Johor pada 12 Februari, Najib mengisytiharkan BN yakin menang dan kekal sebagai kubu kuat BN pada PRU-13 nanti,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Kit Siang yang juga Ahli Parlimen Ipoh Timur berkata, Najib yakin BN dapat mempertahankan kerusi yang dimenangi dan merampas kerusi yang dimenangi pembangkang pada PRU 2008.

Pada PRU 2008 lalu, BN memenangi 25 daripada 26 kerusi Parlimen dan 50 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri yang ditandingi di Johor.

Katanya, BN yakin akan melakukan yang terbaik di Johor pada PRU-13 nanti dan kini Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek turut menuatakan bahawa pengundi Cina di Johor masih kekal teguh di belakang BN walaupun pembangkang cuba melakukan perubahan di kawasan kubu kuat BN.

“Saya akan terkejut jika PR gagal meraih kemenangan yang lebih besar di Johor pada PRU-13 sebab itu akan membuktikan sokongan pengundi di kalangan orang Cina, Melayu dan India sudah berubah kepada PR.

“Sebab itu PR akan memberi tumpuan sepenuhnya terhadap 15 kerusi Parlimen di Johor pada PRU-13 iaitu Gelang Patah, Kulai, Bakri, Kluang, Segamat, Johor Bahru, Tanjong Piai, Labis, Batu Pahat, Ledang, Muar, Pulai, Pasir Gudang, Tebrau dan Sembrong dan yakin akan memenanginya,” tambahnya.

Beliau berkata, jika PR boleh menang lebih daripada satu pertiga iaitu sekurang-kurangnya 10 daripada 26 kerusi Parlimen di Johor serta dengan sekurang-kurangnya satu pertiga kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak, PR sudah pasti akan menawan Putrajaya dan membentuk kerajaan Persekutuan.

Ternyata pimpinan Umno/BN berada dalam keadaan serba salah dengan perkembangan terbaru di mana rakyat akan bangkit menolak BN pada PRU 13 nanti. Keyakinan dapat dilihat di mana program-program anjuran PR khususnya di kawasan majoriti pengundi Cina mendapat sambutan sangat luar biasa. Ini berbeza dengan situasi semasa PRU 12 dahulu.

Sebab inilah Najib dan kuncu-kuncu berasa takut untuk berhadapan dengan PRU 13 sehingga Najib terpaksa menangguhkan pembubaran Parlimen beberapa kali.

Comments