Penyokong Pakatan Rakyat disaran supaya tidak mengikut perangai pemimpin MCA yang tidak tahu menilai yang mana baik dan buruk. Jangan kita terikut-ikut dengan perangai pemimpin MCA yang pernah menggemparkan negara dengan Klip Video 18SX suatu ketika dahulu.
MCA juga pernah menganjurkan program nyanyian dan tarian menghairahkan semasa kempen Piliharaya Kecil Bukit Gantang beberapa tahun lalu.
Sebagai sebuah parti yang ingin membentuk sebuah kerajaan yang telus, bersih, berakhlaq dan berkebajikan kita mesti bijak membawa diri lebih-lebih lagi kita diperhatikan oleh Allah dan rakyat. Sebagai manusia naluri kita sudah tentu dapat membezakan yang mana sesuai dengan manusia dan sesuai dengan binatang.
Pertunjukan seperti tarian separuh bogel dan menjolok mata tidak patut dihidangkan kepada rakyat kerana ianya jelas bertentangan dengan adat ketimuran apatah lagi ianya haram di sisi agama.
Pada masa yang sama kita juga mesti berhati-hati dengan provokasi dan perang psikologi musuh yang sentiasa memasang jerangkap samar untuk memburuk-burukkan kita di mata rakyat. Sudah banyak kali kita terleka dan tertipu dengan taktik dan strategi musuh yang bisa sahaja melakukan tindakan yang berkonsepkan matlamat menghalalkan cara.
Laporan akhbar berbahasa Cina hari ini menyebut, majlis tarian dengan pakaian yang menghairahkan dianjurkan oleh satu ranting PKR di Kulim. Namun begitu ianya belum dapat dipastikan samada ianya benar-benar dianjurkan oleh ranting PKR atau pihak lain walaupun logo dalam banner di atas pentas jelas menampakkan logo PKR.
Dalam maklumbalasnya kepada media, Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata parti itu akan menyiasat dan mengambil tindakan terhadap satu ranting parti itu yang didakwa menganjurkan tarian dengan menampilkan wanita berpakaian mengghairahkan.
Anwar yang juga ketua pembangkang berkata parti itu mempunyai nilai tersendiri yang patut disokong.
Katanya, PKR akan mengambil tindakan sekiranya tarian itu didapati tidak sesuai dan juga jika program berkenaan melibatkan parti.
"Parti ini perlu mendukung nilai yang baik, yang mana ia perlu dipertahankan setiap masa," katanya yang juga ahli parlimen Permatang Pauh.
Bagaimanapun, beliau enggan mengulas lanjut bentuk tindakan yang akan diambil oleh parti ke atas cawangan parti yang didakwa menganjurkan majlis tersebut.
Anwar berkata kepada pemberita selepas menyampaikan ucaptama berkaitan pendidikan percuma di Universiti Selangor di Shah Alam.
Comments