............. Sambungan Catatan Perjalanan 'Hamba' Perjuangan Pejuangan Islam
Saya tidak seperti kanak-kanak lain, bila berumur 5 atau 6 tahun akan memulakan persekolahan di Tadika, Taska, Taski dan sebagainya. Di kampung saya tiada institusi tersebut. Bila sampai umur 7 tahun barulah kenal sekolah. Jarang sekali kanak-kanak yang berumur 7 tahun boleh membaca sedangkan sekarang ini ada kanak-kanak yang umurnya 3 tahun sudah tahu membaca dan menulis.
Saya ingat ketika mula-mula masuk sekolah di kampung, ada kawan-kawan yang kencing dan berak dalam seluar dan kain. Lantaran takut dan kecut untuk beritahu cikgu. Akhirnya 'terbuang' najis setelah berjam-jam menahannya. Terpaksalah cikgu atau tukang sapu@tukang kebun membasuhnya.
Pindah Felda
Saya hanya sempat bersekolah di kampung hingga darjah 3. Pada 18 Disember 1977, keluarga saya berpindah ke sebuah rancangan Felda yang 'top' di Malaysia. Memulakan penghidupan baru di Felda bukannya mudah. Elektrik tiada, jalan tar tiada dan macam-macam kemudahan asas yang tidak disediakan oleh Felda. Malah TV pun tiada pada waktu itu. Hanya beberapa buah TV sahaja ada di rancangan Felda tersebut antaranya rumah saya sendiri.
Rumah saya jadi tumpuan terutama bila hari Jumaat malam Sabtu kerana pada malam itu ada rancangan Tayangan Gambar Melayu. Maka penuhlah rumah saya jadi tumpuan segenap peneroka Felda yang jauh dan dekat. Saya sebagai tuanrumah sudah tentu dapat tiket di hadapan TV. Bersesak-sesaklah mereka menonton TV. Ayahanda dan Bondaku jarang sekali menonton TV, memang dari dahulu mereka tidak minat. Mereka tidur awal.
Zaman Sekolah
Di Felda saya memulakan persekolahan di sebuah rancangan Felda yang jaraknya kira-kira 10 km dari rumah. Ini kerana rancangan Felda saya sendiri tiada sekolah, masih dalam pembinaan. Awal tahun 1978 saya bersekolah di sekolah baru. Tiap-tiap hari van atau Land Rover Felda meredah debu dan selut (jika hari hujan). Habis baju, seluar dan kasut dengan tanah merah atau debu jalanan. Pendekata pakaian habis comot setiap hari.
Jika tiba musim hujan kadang-kadang van dan land rover tersadai dalam selut terpaksalah kami menolaknya untuk sampai ke sekolah. Paling menyedihkan kami terpaksa menaiki trektor ke sekolah jika Van dan Land Rover rosak. Namun pengalaman itu amat menyeronokkan. Sebagai kanak-kanak saya tidak rasa ianya suatu beban malah menjadi satu keseronokan pula.
Pernah satu hari van rosak di tengah jalan. Terpaksalah kami 'bersekolah' di tepi jalan bermain di bawah pepohon sawit sambil melempar-lempar buah sawit sementara menunggu trektor sampai.
Pernah juga kami terpaksa berjalan kaki pulang dari sekolah kerana van rosak. Sampai di sebuah paya di tepi jalan kami berlari-lari untuk minum walaupun air paya lantaran kerana terlalu dahaga. Memori itu sudah pasti tidak dapat dilupakan sampai bila-bila.
Sessi persekolahan 1979 saya bertukar sekolah lagi. Kali ini saya bersekolah di rancangan Felda saya sendiri. Sekali lagi saya dikejutkan dengan 'kehebatan' sekolah baru saya...................
Tunggu Sambungannya .......................Apa kehebatan sekolah baru saya?????
Comments