ALI RUSTAM NAK TINGGALKAN HUTANG LAPUK?

Setelah puas menimbunkan hutang negeri Melaka sehingga RM865juta, Ketua Menteri Melaka Mohd Ali Rustam hari ini mengesahkan sedia bertanding di kerusi parlimen pada pilihan raya umum ke-13, sekaligus menamatkan spekulasi beliau berhasrat melepaskan jawatan Ketua Menteri Melaka.

Ali tahu bahawa lubuk duit di Melaka telah hampir kering, wang untuk menjalankan pembangunan terpaksa dipinjam dari pusat. Untuk harapkan wang negeri Melaka sendiri alamat tak 'berasap' dapur Ali dan kroni-kroninya kerana tiada duit masuk lantaran kerajaan negeri tiada duit untuk membiayai projek-projek mega.

Setelah puas menjalankan projek-projek mega berpenyakit seperti Lapangan Terbang, Eye On, Pulau Melaka, monorail dan sebagainya kini beliau ingin lepas tangan. Sesiapa yang menggantikan beliau selepas ini terpaksalah menanggung semua 'nangka busuk' yang ditinggalkan beliau.

Andai PR menang di Melaka, maka PR kenalah memerah otak mencari duit membayar hutang warisan Ali Rustam sebagaimana negeri-negeri lain yang BN kalah sebelum ini. Semua hutang dibayar oleh kerajaan baru PR.

Media hari ini melaporkan bahawa Adun Bukit Baru itu berkata hasrat itu telah dimaklumkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Ramai juga yang sedia maklum tentang perkara ini namun keputusan terletak di tangan Perdana Menteri," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan persekolahan RM100 kepada murid Sekolah Kebangsaan Dato Palembang di Melaka, hari ini.

Beliau yang diminta mengulas khabar angin berhubung hasratnya melepaskan jawatan ketua menteri untuk kembali berkhidmat di peringkat pusat, bagaimanapun enggan mengulas mengenai kerusi parlimen yang akan ditandingi.

Mohd Ali dilantik sebagai Ketua Menteri Melaka yang kesembilan menggantikan Datuk Seri Abu Zahar Isnin pada 2 Dis 1999.

Comments