JEMPOL: Umno-Barisan Nasional (BN) merupakan dalang kekecohan yang berlaku pada hari Ahad lepas di Felda Bukit Rokan Utara, dakwa Timbalan Pengarah Konvoi Oren ‘Selamatkan Felda’ peringkat Negeri Sembilan, Karip Mohd Salleh.
“Dari lokasi pertama kami singgah iaitu di Felda Kepis, seterusnya Felda Bukit Rokan Barat sehinggalah ke Felda Bukit Rokan Utara, mereka yang menghalang kami masuk kebanyakkannya memegang bendera BN dan Umno.
“Bukan sahaja Umno-BN, malah pihak pengurusan Felda juga terbabit menghalang konvoi kami. Saya mendapat maklumat bahawa memang terdapat arahan daripada ibu pejabat Felda di Kuala Lumpur yang meminta pengurusan Felda setempat tidak membenarkan kami masuk ke penempatan Felda yang kami rancang lebih awal.
“Dalam sebuah pemidang yang dipegang oleh mereka di simpang masuk Felda Bukit Rokan Barat jelas tertera nama Umno dan pengurusan Felda. Malah sebuah kenderaan pacuan empat roda milik Felda turut kelihatan berada di lokasi mereka mengadakan sekatan jalan.
“Jelas di sini memang terdapat penglibatan Umno-BN dan Felda dalam mewujudkan suasana tegang ketika Konvoi Oren Negeri Sembilan berlangsung.
Sepanduk tersebut berbunyi:
“Maaf…Kami penduduk Felda Bukit Rokan Barat sepakat tidak mengizinkan konvoi “NGO Anak” untuk masuk ke kampung kami.
“Kami bermuafakat kerana Felda kami berkampung. Di sini aman harmoni.
“Dari JKKR, Umno, Belia, Wanita dam Pengurusan Felda Bukit Rokan Barat”.
Betulkah peneroka Felda tidak suka Konvoi Oren?
Karip juga mempertikaikan kononnya kumpulan yang membantah kehadiran Konvoi Oren itu merupakan peneroka-peneroka Felda terbabit.
“Di Felda Kepis dan Felda Bukit Rokan Utara, kumpulan yang menghalang kami tidak sampai 100 orang. Di Felda Bukit Rokan Barat kira-kira 80 orang dan di Felda Jelai dalam 50 orang.
“Persoalannya kalau betul apa yang dikatakan oleh mereka yang kononnya seluruh peneroka Felda terbabit tidak suka kehadiran kami kenapa hanya sekerat sahaja yang muncul di jalan utama menghalang kami masuk?
“Terdapat sekurang-kurangnya 2, 000 penduduk di setiap Felda terbabit yang terdiri daripada peneroka, isteri peneroka dan anak-anak peneroka. Tetapi yang membuat kekecohan menghalang kami masuk paling ramai pun lebih kurang 100 orang sahaja.
“Malah penglibatan remaja termasuk remaja bawah umur lebih ramai daripada peneroka Felda itu sendiri.
“Ada diantara remaja-remaja ini turut memegang kayu. Kita mempunyai bukti bergambar.
“Ini jelas menunjukkan Umno-BN dan pengurusan Felda menggunakan apa jua cara termasuk mempergunakan remaja untuk kepentingan diri sendiri tanpa mengambil kira hak asasi pihak lain,” katanya.
Kereta saya disepak, polis hanya melihat keganasan
Sementara itu Karip yang juga merupakan ketua cabang PKR Jempol, turut melahirkan kekesalan terhadap pihak polis yang hanya sekadar menjadi penonton keganasan yang dicetuskan oleh kumpulan pro-BN yang menimbulkan provakasi.
“Ketika saya dan sahabat saya memandu kereta di Jalan Jelai (dekat dengan simpang masuk Felda Jelai) menuju ke Bandar Seri Jempol, lebih kurang 50 pemuda menahan kereta saya dan melakukan provokasi dengan menyepak dan memukul kereta saya.
“Terdapat kira-kira12 anggota polis Unit Rusuhan Ringan di situ tetapi mereka hanya melihat dan tidak langsung membantu meleraikan provokasi itu.
“Saya amat kesal dengan sikap pihak polis sepanjang Konvoi Oren berlangsung di Felda Kepis, Felda Bukit Rokan Barat dan Felda Bukit Rokan Utara yang jelas menyebelahi pihak pro-BN walaupun tindakan yang dilakukan itu jelas menyalahi undang-undang seperti memukul peserta konvoi, merosakkan kenderaan dan membuat sekatan jalan di jalan utama yang merupakan jalan awam,” kata Karip.
Ahad lepas Konvoi Oren Negeri Sembilan yang disertai lebih 200 peserta terpaksa dibatalkan serta merta selepas dua peserta konvoi tersebut cedera di kepala dan kening setelah dipukul dengan kayu oleh sekumpulan lelaki yang tidak dikenali di Felda Bukit Rokan Utara, Gemencheh.
Cermin depan dan tingkap sebuah kenderaan pacuan empat roda milik peserta konvoi turut dipecahkan oleh kumpulan terbabit yang membuat sekatan jalan menghalang konvoi tersebut.
Sumber : FMT
Comments