25 PELAJAR AZHAR DIZALIMI?

Ayer Molek : Timbalan Pesuruhjaya PAS Negeri Melaka, Ustaz Kamaruddin Sidek kesal dengan sikap pihak pentadbiran Rumah Melaka di Kahirah yang menghalang 25 pelajar anak negeri Melaka dari menginap pusat penginapan tersebut.

"Apa alasan mereka sehingga menafikan hak anak negeri Melaka ini menduduki Rumah Melaka ini yang dikelolakan oleh Majlis Agama Islam Melaka (MAIM)".

"Terbukti mereka menzalimi pelajar-pelajar tersebut yang terpaksa menumpang di penginapan kawan-kawan mereka dari negeri lain, jelas mereka menafikan hak pelajar-pelajar ini" ujar Kamaruddin pada majlis ceramah anjuran Majlis Tindakan Dun Ayer Molek, di sini malam tadi.

Beliau berkata hal ini telah diajukan kepada bertanggungjawab di negeri ini tetapi mereka meminta beliau merayu kepada Ketua Menteri Melaka, Mohd Ali Rustam yang merupakan Pengerusi MAIM.

"Saya sudah tahu apa keputusan yang akan diambil oleh Ali Rustam jika saya membuat rayuan, jadi tidak perlulah saya berbuat demikian".

"Kalau benar Kerajaan BN Melaka mendahulukan rakyat mengapa mereka menzalimi pelajar-pelajar tersebut sedangkan mereka melaung-laungkan merekalah pejuang Melayu dan Islam" tambah Kamaruddin.

Menurut Kamaruddin, jika phak pentadbiran Rumah Melaka tersebut terus dengan tindakan menzalimi pelajar-pelajar terbabit, beliau tidak teragak-agak untuk membuat permohonan kepada kerajaan negeri Pulau Pinang untuk membenarkan mereka menginap di penginapan Pelajar kendalian kerajaan Pulau Pinang.

"Kalau pejuang-pejuang Melayu ini terus menzalimi pelajar-pelajar tersebut saya tidak teragak-agak untuk berjumpa dengan Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng untuk merayu supaya pelajar-pelajar ini dibenarkan untuk tinggal di Rumah Pulau Pinang di Kahirah".

"Kita akan minta bantuan dari orang yang dituduh sebagai anti Melayu, anti Islam dan kita tengok nanti siapa sebenarnya menzalimi orang Islam, orang Melayu" ujar Kamaruddin serius.

Kamaruddin juga kesal kerana MAIM yang mengutip zakat dari rakyat negeri melalui Pusat Zakat Melaka gagal memberikan hak kepada pelajar-pelajar terbabit sehingga mereka dizalimi sedemikian rupa.

Difahamkan pelajar-pelajar Melaka tersebut sudah beberapa bulan belajar di Kahirah tetapi sehingga kini permohonan mereka untuk menginap di Rumah Melaka tidak diluluskan sedangkan mereka adalah anak jati Melaka yang sememangnya layak untuk tinggal di pusat penginapan tersebut.

Comments