Nik Abdul Aziz Nik Mat bersedia ditentang oleh mana-mana pemimpin Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Menurut menteri besar Kelantan itu, dalam sebuah negara demokrasi beliau tidak ada masalah untuk berhadapan dengan sesiapa pun yang mahu mencabarnya.
“Tak ada apa, negara ini demokrasi.
“Bagi duit ambil, bagi lembu sembelih, bagi kain pakai, tapi kalau mengundi, pangkah PAS,” katanya dipetik dari Sinar Harian Online.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Parti Progresif Penduduk (PPP) Kelantan, Datuk Nik Sapeia Nik Yusoff yang menyatakan kesanggupan untuk menentang Mursyidul Am PAS itu pada PRU 13 walau di kerusi Parlimen sekalipun.
Nik Sapeia sebelum ini berkata, beliau terpanggil menyuarakan kesanggupan menentang Nik Abdul Aziz selepas pemimpin itu menyokong hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ini bertanding di Parlimen Pekan menentang Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Razak pada PRU13.
Menurutnya, jika Nik Abdul Aziz boleh menyokong hasrat Abdul Hadi menentang pemimpin nombor satu negara, bermakna pemimpin itu juga mungkin bersedia untuk ditentang olehnya.
Abdul Hadi sebelum itu menyatakan hasratnya untuk bertanding dimana sekalipun seperti yang diarahkan oleh PAS termasuk di Pekan.
Ahli Parlimen Kota Belud Datuk Rahman Dahlan yang dihubungi The Malaysian Insider baru-baru ini membayangkan Abdul Hadi akan menamatkan kariernya dalam politik dengan cara yang “amat memalukan” jika memilih Pekan sebagai lokasi untuk bertanding dalam PRU akan datang.
“Sebagai presiden parti, jika benar mahu bersara, pilih cara yang lebih baik ... bukan bersara dengan kekalahan.”
“Jika Hadi bertanding di Pekan, dia tidak akan menang, tetapi bakal mengalami kekalahan besar,” katanya.
Abdul Rahman bagaimanapun tidak melihat Najib, yang merupakan penyandang kerusi Parlimen Pekan akan tergugat jika bertanding menentang Abdul Hadi.
“Belum ada sejarah perdana menteri yang berkhidmat tewas di kerusi yang ditandinginya.
“Kalau Abdul Hadi mahu mencipta sejarah memalukan legasi kepimpinan PAS, saya alu-alukan beliau bertanding di Pekan,” tambahnya kepada The Malaysian Insider.
Comments