Jika PR menerima derma dari luar negara yang jumlahnya puluhan juta ringgit sudah tentu mereka akan lunyai dikerjakan dalam mahkamah negara kita. Sudah tentu mereka akan dikaitkan dengan tuduhan menerima bantuan asing, dari Yahudi, Soros dan sebagainya.
Tetapi sebaliknya Umno/BN dengan selamba mendakwa menerima RM40juta dari luar tanpa sebarang siasatan dari pihak berkuasa. Bayangkan RM40juta diterima oleh Umno Sabah, satu jumlah yang amat besar dan tidak pula dinyatakan samada wang itu halal atau haram disisi undang-undang, di sisi agama jauh sekali.
Kalau mereka buat semua boleh, jumpa Soros boleh, 'sedekah' duit kepada APCO boleh, kawan dengan komunis boleh, semua boleh, Malaysia Boleh.
Semalam Najib berkata bahawa pemberian dana RM40 juta kepada Umno Sabah adalah bertujuan derma politik dan selagi ia disalurkan dengan cara yang betul ia bukan satu kesalahan.
“Ia satu derma politik. Semua parti mempunyai hak untuk menerima derma politik.
“Selagi ia melalui saluran yang betul, ia tidak menjadi kesalahan,” kata Najib dipetik dari laporan Malaysia Insider.
Apabila ditanya sumber daripada mana dana tersebut diperoleh, Najib enggan mendedahkan butiran perkara tersebut dan mendakwa pembangkang juga menerima derma politik bagi menjalankan operasi parti mereka.
“Saya tidak akan mendedahkannya kerana pembangkang juga menerima derma politik.
“Cuba tanya pembangkang berapa banyak yang sudah mereka kutip daripada derma politik,” tambah Najib.
Semalam, media melaporkan Nazri Aziz dalam jawapan balas kepada ahli parlimen PKR, Chua Tian Chang berkata tiada elemen perbuatan rasuah dapat dibuktikan terhadap dakwaan pengubahan wang haram dan rasuah ke atas Datuk Musa Aman (gambar) serta berkata wang berjumlah jutaan ringgit yang disalurkan adalah bertujuan untuk kegunaan Umno Sabah.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri tersebut juga berkata pihak Peguam Negara (AG) telah meneliti perkara tersebut dan menutup kes itu selepas mendapati tiada unsur rasuah dibuktikan oleh laman pemberi maklumat Sarawak Report awal tahun ini.
“Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada badan perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua menteri,” jawab Nazri.
Nazri juga berkata Suruhanjaya Bebas Anti Rasuah Hong Kong (ICAC) turut menyiasat kes tersebut tetapi tidak mengambil sebarang tindakan lanjut.
“Mengenai kes yang turut difailkan di Mahkamah Switzerland, ia merupakan permohonan Bantuan Bersama dalam Perkara Jenayah (MACMA) oleh ICAC bagi tujuan menyiasat perkara yang sama.
“Permohonan MACMA ini juga telah ditarik balik atas alasan yang sama dinyatakan di atas,” kata Nazri lagi.
Pada April lalu, Sarawak Report telah mendedahkan dokumen daripada ICAC yang didakwa menunjukkan seorang peguam di Sabah mempunyai sejumlah USD 30 juta (RM92 juta) dalam akaun di bank Switzerland yang dimiliki oleh Musa.
Michael Chia yang dituduh sebagai mempunyai kaitan dengan kes Musa ini merupakan pelabur balak yang banyak menjalan menjalankan urusan dengan syarikat British Virgin Island yang secara langsung melibatkan peguam tersebut.
Musa menafikan tuduhan yang mengaitkan dirinya dengan Chia yang pernah ditahan pada 2008 kerana cuba menyeludup wang haram berjumlah S$16 juta (RM40 juta).
Menurut laporan media, Chia memberitahu kerajaan Hong Kong bahawa wang tersebut adalah milik Musa.
“Saya nafikan semua tuduhan ini,” kata Musa.
Musa sebaliknya mendakwa Sarawak Report cuba menjatuhkannya dan mengatakan ia sebahagian daripada konspirasi pembangkang untuk menawan negeri tersebut.\
Comments