MAHATHIR PERLI ORANG UMNO

Presiden PAS, Tuan Guru Dato Seri Haji Abdul Hadi Awang berkata bekas Perdana Menteri dan Presiden Umno, Dr Mahathir Mohamad memperli orang Umno apabila menyamakan Umno dengan Syaitan yang dikenali baru-baru ini.

"Dr Mahathir memperli orang Umno supaya sedar bahawa Umno diibaratkan sama seperti Syaitan yang dikenali dan PR sebagai malaikat yang tidak dikenali".

"Kalau Umno sama dengan syaitan yang dikenali apa lagi orang Umno hendak tunggu takkan nak duduk lagi dalam parti yang diumpamakan sebagai syaitan" ujarnya.

Beliau berkata demikian pada amanat sempena majlis makan malam anjuran Dewan Muslimat PAS Negeri Melaka di Kampung Parit Putat Benteng, Sg Rambai dekat sini malam tadi.

Ahli Parlimen Marang itu juga berkata sudah dua kali Dr Mahathir mengeluarkan kenyataan memperli orang Umno di mana sebelum ini kali pertama beliau menyatakan bahawa Umno sudah busuk sampai ke usus.

"Sudah dua kali Dr Mahathir perli orang Umno, dulu dia kata Umno sudah busuk sampai ke usus akibat rasuah dan sebagainya."

"Jadi orang Umno kena fikir supaya jangan lagi duduk dalam Umno dan kena keluar dari Umno" tambah Tuan Guru.

Menurutnya, PAS dan PR telah membuktikan bahawa mereka bersedia untuk mengambilalih kerajaan negeri dan pusat apabila berjaya memerintah empat buah negeri dengan baik selepas PRU 2008 iaitu Kelantan, Kedah, Selangor dan Pulau Pinang.

"Sudah sampai masanya rakyat memberikan kepercayaan kepada PR untuk memerintah Malaysia dan negeri-negeri di dalamnya dengan mengundi PR pada PRU 13 nanti" kata beliau.

Majlis makan malam yang diserikan dengan ceramah pimpinan pusat dan negeri itu mendapat sambutan hangat di mana semua meja yang disediakan ditempah oleh rakyat. Malah ramai yang terpaksa berdiri di kaki jalanraya untuk mendengar ucapan pimpinan PAS dan PR.

Turut berceramah pada program tersebut ialah Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Ustazah Siti Zailah Mohd Yusof, Timbalan Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Dr Siti Mariah Mahmood; Pesuruhjaya PAS Melaka, Adly Zahari; Pengerusi DAP Melaka, Goh Leong San dan Pengerusi PKR Melaka, Shamsul Iskandar Mat Akin.


Comments