YB BN, WAKIL RAKYAT KEDAI KOPI


Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, hari ini membidas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kubu Baru, Wong Koon Mun, sebagai “wakil rakyat kedai kopi” apabila mengaitkan kejadian bencana alam di Selangor dengan aktiviti kecurian pasir.
Khalid dalam perbahasan lisan di Dewan Undangan Negeri hari ini membidas kenyataan Wong dengan menegaskan kejadian tanah runtuh di negeri itu tidak melibatkan kegiatan kecurian pasir dan Wong jelasnya menggunakan logik yang rendah dalam membuat perbandingan berhubung perkara itu.
“Logik yang digunakan agak rendah iaitu kononnya dengan kecurian pasir jambatan akan runtuh, ini cakap-cakap di kedai kopi,” tegas Adun Ijok ini lagi.
“Kita gunakan kajian daripada Institut Kerja Raya Malaysia (Ikram), mereka telah mengatakan faktor kecurian pasir tidak menyumbang kepada kejadian tanah runtuh.”
Memang wakil rakyat yang mengeluarkan kenyataan semacam ini digelar wakil rakyat kedai kopi. 'Standard' macam ini sama dengan mereka yang berborak di kedai kopi yang bercakap ikut suka tanpa usul periksa. Sepatutnya sebagai seorang wakil rakyat segala kenyataan yang hendak dinayatakan di dalam dewan mestilah diambil dari sumber yang sahih dan kajian yang tepat dan berprestij.
Wong sebelum itu mempersoalkan berkenaan ketiadaan pendedahan mengenai jumlah tangkapan yang dibuat berkaitan skandal pasir di Selangor walaupun kerajaan negeri mengumumkan jumlah tangkapan berhubung jenayah itu menunjukkan penurunan sejak 2008.
“Kalau kerajaan negeri betul-betul efisyen, siapa tahu individu atau kumpulan mana yang ditangkap serta apa hukumannya?
“Skandal kecurian pasir ini mendatangkan masalah sampingan, sebelum 2008 tiada jambatan runtuh atau tebing sungai runtuh,” katanya dan menambah, “sekarang kerap media melaporkan kejadian-kejadian seperti ini.”
Khalid bagaimanapun dilihat cuba berdolak-dalik ketika menjelaskan mengenai keberkesanan operasi pemantauan dan pencegahan sindiket kecurian pasir di negeri pimpinan Pakatan Rakyat (PR) itu.
Malah, Khalid juga tidak menjawab soalan Wong mengenai jumlah tangkapan yang sudah dibuat sejak skandal mencuri pasir di Selangor didedahkan selepas 2008.
Sebelum itu, dalam sesi soal jawab lisan menerangkan bahawa trend tangkapan kenayah kecurian pasir telah menurun sejak PR mengambil alih kerajaan Selangor.
“Trendnya sudah menurun. Pada 2008 sebanyak 974 tangkapan, 159 (2009), 91 (2010), 37 (2011) dan hanya 26 tangkapan dibuat sehingga Jun 2012.
“Operasi perampasan juga sudah berkurang, kutipan juga berkurang. Berdasarkan fahaman kita sudah tentulah operasi pencurian pasir berkurang,” katanya lagi.
Beliau turut menerangkan, ekoran kejayaan itu, bukan sahaja pendapatan operasi pasir telah meningkat, tetapi juga jumlah royalti yang dibayar.
Jelas Khalid lagi, jumlah besar royalti yang dibayar juga meningkat kepada RM 5 juta dalam tempoh enam bulan sejak 2008, berbanding tidak lebih RM 3 juta sebelum itu.
“Bukan sahaja kecurian berkurang, tapi royalti negeri juga bertambah,” tambahnya lagi.
Sumber : Malaysiainsider.

Comments