DAP melahirkan rasa kesal dan terkejut atas keengganan Astro Awani untuk menyiarkan debat secara langsung di antara Chua Soi Lek dan Lim Guan Eng dalam topik “DAP vs MCA: Dasar siapa yang lebih menguntungkan negara?” pada Ahad ini 8 Julai, bertempat di Sunway Pyramid Convention Centre dekat sini.
Debat yang sepatutnya disiarkan secara langsung melalui TV pada jam 2.30 hingga 4.30 petang hari tersebut ditunda dan cuma akan disiarkan pada jam 11 malam.
Menurut Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Astro cuma boleh membuktikan komitmen mereka terhadap laporan yang tidak berat sebelah dengan menyiarkan debat tersebut secara langsung.
“Astro tidak pun menyatakan sebab mengapa mereka tidak mahu menyiarkan debat kali kedua ini secara langsung dan saya telah menyemak dengan Pengarah Urusan ASLI sendiri Tan Sri Michael Yeo di mana beliau telah mengesahkan bahawa ASLI tidak mengenakan apa-apa bayaran pun untuk disiarkan secara langsung,” ujarnya.
Kata beliau, keengganan Astro Awani untuk menyiarkan debat ini secara langsung mungkin disebabkan keengganan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk berdebat dengan ketua oposisi Datuk Seri Anwar Ibrahim serta penjelasan lemah Najib sendiri yang mengatakan debat bukan sebahagian dari budaya politik kita.
“Ini jelas menunjukkan wujudnya tekanan politik yang dikenakan terhadap Astro.” kata Guan Eng yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.
Tambah beliau lagi, penjelasan Astro yang mengatakan bahawa mereka memerlukan masa untuk menyediakan sarikata adalah tidak munasabah kerana semua orang memahami bahasa kebangsaan.
“Kalau debat dalam Bahasa Mandarin pun boleh disiarkan tanpa sarikata kenapa perlunya sarikata bagi debat dalam Bahasa Malaysia ataupun Bahasa Inggeris?” soalnya.
Menurutnya, debat yang akan disiarkan oleh TV lewat malam tidak akan memberi keadilan untuk meningkatkan kesedaran dan penambahbaikan wacana awam terhadap isu nasional yang penting.
“Ini boleh menjejaskan nasib rakyat Malaysia. Alasan untuk melewatkan siaran debat yang akan dijalankan pada waktu petang kerana rakyat Malaysia tiada di rumah antara jam 2.30 hingga 4.30 petang adalah mengarut,” tambahnya.
“Kalau begitu, Astro juga perlu menghentikan apa jua siaran mereka pada waktu itu (2.30 hingga 4.30 petang) kerana tiada siapa yang menonton TV masa itu sbeagaimana yang dikatakan oleh Astro,” ujar beliau lagi. – Roketkini.com
Comments